• 'Saya Dah Cuba Sedaya-Upaya Tapi...'

    Published: Saturday, 3 February 2018
    A- A+
    SANDAKAN: "Saya berusaha sedaya-upaya menyelamatkan mangsa, namun api marak terlalu cepat selepas pemandu dikeluarkan."

    SK Lim, 71, kecewa berikutan hanya sempat menyelamatkan doktor yang terbabit nahas kereta terjunam di Batu 9, Jalan Labuk, dekat ini, semalam.

    Seorang jururawat wanita yang turut berada dalam kereta itu disahkan maut.

    Ketika kejadian, Lim ingin kembali tidur selepas ke bilik air kira-kira jam 4 pagi sebelum terdengar dentuman yang menyebabkannya bergegas mencari lampu suluh dan keluar ke jalan raya.

    Beliau kemudian melihat sebuah kereta terbabas melanggar rumah pekerjanya lalu bergegas ke kenderaan terbabit bersama seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an.

    "Ketika itu, api sudah marak pada bahagian enjin kereta. Kami berusaha mengeluarkan pemandu lelaki kerana dia berbadan besar dan mengheretnya ke lokasi selamat.

    "Kami cuba menyelamatkan mangsa wanita yang menjerit meminta tolong di tempat duduk belakang tapi api terlalu marak dan kami tak dapat berbuat apa-apa.

    "Saya benar-benar kecewa," katanya ketika ditemui, hari ini.

    Lim mendakwa lebih 60 nahas berlaku di lokasi terbabit berdekatan bengkel pertukangan besi miliknya.

    Beliau berkata, sekurang-kurangnya lima kejadian kereta terlanggar pagar bengkelnya berlaku sebelum ini manakala lebih 60 kemalangan motosikal berlaku di bulatan berkenaan dengan semua kenderaan menuju ke arah bandar Sandakan.

    "Bulatan ini tiada tanda amaran. Jalannya terlalu sempit dan selekoh bulatan terlalu tajam manakala jalan tidak rata seperti menuruni bukit.

    "Tiada parit di bulatan itu dan apabila hujan, air mengalir betul-betul ke jalan raya hingga penunggang motosikal kerap terjatuh," katanya yang berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan pengguna jalan raya.

    Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi semalam, seorang jururawat rentung apabila kereta dinaiki terbakar selepas terhumban sejauh kira-kira 100 meter sebelum merempuh sebuah rumah kosong di Batu 9, Jalan Labuk.

    Lydricca Koh, 28, dilaporkan tersepit dan rentung dalam kereta terbabit, manakala pemandu kereta jenis Mazda, Karthigaiyan Rajalingam yang juga pegawai perubatan berusia 30 tahun cedera di leher, kaki dan kepala. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Saya Dah Cuba Sedaya-Upaya Tapi...' "