• Sarawak Tidak Perlukan Parti Politik Luar Perjuangkan Hak – Abang Jo

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+

    MIRI: Rakyat Sarawak sama sekali tidak memerlukan parti politik luar untuk perjuangkan hak kita kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

    Menurutnya, hala tuju Sarawak akan ditentukan empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri yang berkeupayaan melindungi dan mengembalikan hak negeri ini daripada kerajaan pusat.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, Sarawak memiliki keluarga sendiri yang terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan PDP.

    “Ini merupakan empat ketua keluarga yang dapat melindungi Sarawak.

    “Hala tuju Sarawak ditentukan oleh empat keluarga ini bukan parti luar. Keempat-empat parti ini merupakan parti utama yang melindungi Sarawak,” tegasnya.

    Beliau yang juga pengerusi BN Sarawak berkata, dengan penyatuan semua rakyat, kerajaan negeri boleh berunding dengan kerajaan pusat untuk mendapatkan hak-hak yang terhakis.

    “Kita perlukan orang Sarawak untuk melindungi harta Sarawak bukan DAP, PKR yang perlu patuh kepada presiden mereka iaitu orang luar,” jelasnya.

    Abang Jo memberitahu, Sarawak sekarang lantang bersuara serta tidak takut mempertahankan hak-hak yang ada.

    Katanya, Kerajaan pusat juga tidak boleh menidakkan hak-hak Sarawak dan kuasa kerajaan negeri untuk melindungi, mengawal dan mengurus sumber kekayaannya.

    Antaranya kuasa mengeluarkan lesen di bawah undang-undang tanah dan Ordinan Perlombongan Minyak Negeri 1958 dikenakan untuk syarikat pengeluar dan kontraktor industri minyak dan gas.

    “Sebab semua ini adalah hak kita. Bila kita dapat hak kita, kita dapat kongsikan kekayaan kita. Kita tidak kisah bekerjasama dengan Petronas tetapi perlu ketuk pintu kita dulu, seperti budaya Melayu, bila hendak masuk ke rumah, beri salam dahulu. Bila Petronas mahu datang ke sini, beri salam dulu, minta kebenaran,” kata beliau.

    Tambahnya lagi, selain minyak dan gas, Sarawak juga kaya sumber air yang boleh dibangunkan menjadi tenaga hidrogen sebagai bahan eksport dan sumber pendapatan terbaharu negeri.

    Pembangunan ekonomi digital juga adalah untuk tempoh jangka panjang dan persediaan untuk Sarawak berdepan revolusi Industri 4.0.

    “Kita perlu bekerja keras untuk bangunkan Sarawak untuk mencapai negeri maju pada 2030,” ujarnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Tidak Perlukan Parti Politik Luar Perjuangkan Hak – Abang Jo "