• Sarawak Terus Jadi Pilihan Pelabur Asing

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+
    Foto Adrian Rayqal
    LIMBANG: Sarawak diyakini terus menjadi destinasi pelaburan utama melalui pelbagai dasar pentadbiran bersifat inklusif yang diperkenalkan kerajaan negeri.

    Ini terbukti apabila sepanjang 2017, Sarawak merekodkan nilai pelaburan mencecah RM10.7 bilion, menjadikan antara negeri yang menerima pelaburan asing tertinggi di Malaysia.

    Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata perkembangan positif itu turut didorong faktor berkaitan, termasuk kestabilan politik di Sarawak, selain keharmonian dalam kalangan rakyat.

    "Dalam kalangan pelabur asing, mereka cukup mementingkan elemen kestabilan politik.

    "Di Sarawak, kita memiliki kesemua kelebihan itu, sekali gus menjadikan negeri ini satu destinasi yang cukup ideal dan strategik untuk mereka melabur.

    "Ia ditambah lagi dengan pelbagai insentif dan kemudahan berkaitan yang ditawarkan kerajaan negeri, khusus bagi mempermudahkan pelabur asing terbabit menanam modal, sekali gus membantu memakmurkan ekonomi kita," katanya.

    Beliau yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 - Peringkat Limbang, di sini hari ini.

    Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan Pemangku Residen Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi.

    Awang Tengah berkata pendirian Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, yang berpandangan jauh dalam membawa Sarawak ke era pemodenan melalui Gagasan Ekonomi Digital diperkenalkannya turut menarik perhatian pelabur asing.

    "Banyak syarikat atau firma dari luar negara memberikan maklum balas positif terhadap gagasan baharu berkenaan, selain berminat bekerjasama membangunkan ekonomi digital, sekali gus membantu matlamat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030," katanya.

    Terdahulu, Awang Tengah menegaskan, kerajaan negeri komited mengimbangi kemajuan di bandar dengan kawasan luar bandar mahupun pedalaman.

    "Ini penting bagi memastikan setiap lapisan rakyat mengecapi nikmat kemajuan negeri. Kita mempunyai kestabilan politik dan mempunyai dasar berpandangan jauh dengan mengambil kira semua kelompok masyarakat," katanya. - BH Online
  • No Comment to " Sarawak Terus Jadi Pilihan Pelabur Asing "