• Sarawak Perlukan Lebih Banyak Akses Perhubungan Darat

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+


    BINTULU: Sarawak memerlukan lebih banyak jambatan bagi mewujudkan akses perhubungan darat lebih moden dan cekap, terutama di kawasan pesisir negeri.

    Malah, ia juga sebahagian daripada komponen pelengkap jaringan jalan pesisir yang sedang dibangunkan sebagai laluan alternatif kepada Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

    Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur (Jalan Pesisir), Datuk Julaihi Narawi, berkata projek berkenaan mampu membawa limpahan pembangunan, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar yang direntasi.

    Di Bintulu, misalnya, pembinaan Jambatan Sebauh bakal menghubungkan daerah itu dengan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, sekali gus mempercepatkan lagi pembangunan dan sosio-ekonomi di situ.

    "Sebauh yang turut berada dalam kawasan projek Pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) antara daerah yang sedang pesat membangun, khususnya dalam sektor komoditi sawit berskala besar.

    "Justeru, pembinaan Jambatan Sebauh merentasi Sungai Batang Kemena sememangnya tepat pada masa kerana daerah ini antara pengeluar utama kelapa sawit, produk ternakan dan pertanian di bahagian ini," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Sesi Dialog Bersama Ketua Masyarakat Berhubung Cadangan Projek Pembinaan Jambatan Sebauh, di sini, hari ini.

    Hadir sama Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil.

    Julaihi berkata, dengan siapnya jambatan itu nanti, ia sekali gus menjadikannya jambatan ketiga dibina merentasi Sungai Batang Kemena selepas Jambatan Kuala Tatau dan Jambatan Kemena.

    Katanya, ketika ini projek jambatan itu sedang dalam peringkat menetapkan jurutera perunding bagi melakar reka bentuknya, selain peringkat awal kerja-kerja kejuruteraan.

    "Jambatan Sebauh bakal menjadi nadi penghubung semua kawasan sekitar daerah ini, termasuk rumah panjang, kampung serta kebun milik penduduk, sekali gus memudahkan mereka memasarkan komoditi masing-masing," katanya.

    Beliau berkata, ketika ini penduduk terpaksa menggunakan bot untuk berulang-alik ke rumah yang bukan hanya mengambil masa, malah turut berisiko karam. - BH
  • No Comment to " Sarawak Perlukan Lebih Banyak Akses Perhubungan Darat "