• Sarawak Ingin Kongsi Keharmonian Kaum Dengan Seluruh Dunia

    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    KUCHING - Menerusi teknologi terkini, Sarawak ingin berkongsi keharmonian kepelbagaian kaum yang dimilikinya dengan seluruh dunia, sebagaimana ia berjaya memberi ilham kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetengahkan konsep 1Malaysia.

    Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri yang sebelum ini telah memberi pengiktirafan bahawa beliau mendapat ilham mengenai konsep itu dari Sarawak.

    Menurutnya, kekuatan Sarawak dapat dilihat jelas menerusi keharmonian yang wujud dalam kalangan rakyatnya yang boleh hidup bersama dengan aman, duduk semeja, malah sebumbung, tanpa sebarang masalah walaupun berbeza dari sudut agama, bangsa dan budaya.

    Perkara itu disentuh semasa beliau merujuk kepada penggunaan teknologi yang terkini, misalnya seperti penggunaan teknik 'realiti maya', yang perlu digunakan lebih meluas untuk mempromosi keindahan serta keharmonian negeri, bagi menarik kunjungan ramai ke sini.

    “Pelancong boleh datang, lihat ‘how we share our green’, bagaimana kita pelihara hutan kita untuk bekalkan oksigen buat dikongsi dengan dunia sejagat, sebab itu kerajaan kena guna teknologi terbaru untuk mempromosi produk-produk kita dengan lebih hebat,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa ditemu ramah dalam rancangan “Bersama Ketua Menteri Sarawak” selama sejam yang disiarkan secara langsung di TV1 dan radio SarawakFM, Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

    Dalam tempoh sejam Ketua Menteri itu mengupas isu-isu seperti Perjanjian Malaysia 1964, pembangunan syarikat minyak negeri Petros, Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), ekonomi digital, pembangunan fizikal, visi serta hala tuju pembangunan negeri, Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Transformasi Minda, dan sebagainya.

    Menyentuh soal Perjanjian Malaysia 1964, sekali lagi Abang Johari menyuarakan penghargaan kepeda Perdana Menteri yang menurutnya mempunyai pandangan yang cukup rasional dan terbuka untuk sedia mendengar, berunding dan melihat sekiranya ada kuasa Kerajaan Negeri Sarawak yang diperuntukkan oleh perjanjian itu telah terhakis.

    “Kami hanya mahukan hak kami, kita pun tidak mahu hak atau kuasa orang lain, mengapa kita perlu meminta kuasa yang bukan milik kita, berdosa tu, ambil hak orang lain itu berdosa, tapi kalau hak kita orang ambil pun berdosa, sebab itu kita kata kita nak berunding,” katanya.

    Abang Johari berkata, penubuhan syarikat minyak dan gas negeri, Petros, juga dibangunkan berlandaskan kepada lunas undang-undang dan perlembagaan yang membolehkan ia diwujudkan dengan niat untuk turut membawa pembabitan kerajaaan negeri dalam industri minyak dan gas.

    Ditanya mengenai gesaan kerajaan negeri supaya Kerajaan Persekutuan menaikkan royalti minyak kepada 20 peratus, Abang Johari berkata ia adalah isu yang berlainan, namun yang penting dalam apa saja yang diusahakan, ia perlu berlandaskan lunas undang-undang dan perlembagaan negara.

    “Saya ikut undang-undang dan perlembagaan, kalau ini hak Sarawak saya laksanakan hak Sarawak, sebab saya Ketua Menteri Sarawak amanah saya membangunkan negeri, bukan bermakna kita akan berpisah dari Persekutuan, tidak sama sekali, kita buat selamanya dalam Malaysia, tetapi kami boleh berkongsi,” katanya.

    Menyentuh soal kesalinghubungan, Abang Johari berkata selain kesalinghubungan berkaitan capaian internet yang sempurna untuk menjayakan impian ekonomi digital Sarawak, kesalinghubungan fizikal yang berkaitan pembinaan jalan raya, jambatan, serta pelbagai infrastruktur lain tidak pernah diketepikan.

    Seterusnya beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang bersetuju menyumbang setengah billion ringgit sebagai tambahan kepada RM1 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur capaian internet dalam negeri.

    Dari segi kesalinghubungan fizikal pula Abang Johari berkata sepanjang pentabdirannya kira-kira setahun dan sebulan lalu, beliau telah mengumumkan pelaksanaan banyak projek-projek pembinaan jalan dan jambatan bagi menghubungkan kawasan pedalaman dan kawasan pesisir pantai dengan Lebuh Raya Pan Borneo.

    Dari segi infrastruktur lain pula katanya beliau turut berusaha membangunkan pelbagai projek, kerana “kita tidak mahu selepas berpuluh tahun merdeka, masih ada tempat yang tidak mendapat bekalan air sedangkan kita ada banyak empangan besar”.

    Sementara itu Abang Johari berkata Sarawak juga perlu menyediakan ‘ekosistem’ yang paling baik, dengan niat mencungkil bakat-bakat baru untuk membangunkan negeri menggunakan teknologi terkini, di samping turut disasar bagi mengundang kepakaran anak tempatan yang merantau di luar negara, untuk kembali menabur bakti kepada negeri menggunakan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki mereka.

    Beliau berkata sekitar 60 peratus penduduk Sarawak adalah dari kalangan “golongan muda” yang memerlukan pemimpin mereka berwawasan dan faham mengenai keperluan serta tuntutan persekitaran semasa untuk mengejar kemajuan, dan ekosistem inilah yang perlu dibangunkan untuk mereka.

    Menyentuh hasrat untuk membangunkan kemudahan sistem pengangkutan seperti transit aliran ringan (LRT), Abang Johari berkata ia sebenarnya bukan hanya berkaitan dengan hubungan antara dua tempat, tapi lebih dalam lagi ia turut merujuk kepada pemindahan teknologi, peluang menggunakan sumber sedia ada dengan lebih efisyen, di samping kemudahan untuk membangunkan bandar-bandar satelit bagi kemudahan di masa hadapan, dan banyak lagi.

    Merujuk kepada Perhimpunan Agung parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) ke-14 yang baru berakhir minggu lepas pula, beliau bersyukur kerana ia berlangsung dengan baik banyak jawatan tinggi parti tidak ditandingi hasil muafakat antara anggota parti, untuk melahirkan generasi pemimpin masa depan.

    “Ini akan beri peluang dan ruang kepada kepada mereka untuk dilatih sebagai pemimpin, kerana kita ini hidup tidak kekal lama, yang kekal adalah semangat perjuangan, dan mereka (pemimpin masa depan) perlukan pendedahan,” katanya.

    Di Sarawak ini mereka perlu pendekatan yang seimbang, kerana kita inklusif, kita pimpin seluruh rakyat berbilang kaum dan agama, bukannya Ketua Menteri untuk orang Melayu saja, tapi untuk semua, orang Melayu, orang Iban, Bidayuh, Orang Ulu, orang Cina, semuanya,” kata beliau.- Bernama
  • No Comment to " Sarawak Ingin Kongsi Keharmonian Kaum Dengan Seluruh Dunia "