• Sarawak Dijangka Mula Guna eBas Pertengahan Tahun Depan

    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+
    Foto The Borneopost 
    KUCHING: Perkhidmatan bas elektrik atau dikenali eBas di Sarawak dijangka mula digunakan pertengahan tahun depan kata Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.

    Dimaklumkan, sebanyak 130 eBas bakal digunakan untuk beroperasi menghubungkan semua laluan yang ditetapkan di seluruh bahagian ini.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurut Dr Jerip, perjanjian perkhidmatan eBas di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) telah ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan Konsortium Bas Bandaraya Kuching (KBBK) Sdn Bhd sebagai operator rangkaian, pada 22 November tahun lalu membabitkan operasi 130 bas konvensional diesel.

    “Buat masa sekarang, saya tidak dapat memberi maklumat lanjut mengenai laluan utama yang akan dihubungkan.

    “Ianya lebih menumpukan kepada laluan-laluan yang selalu sesak untuk mengurangkan kesesakan di jalan raya,” katanya.

    Tambah Dr Jerip lagi, ia sejajar dengan polisi negeri serta pelan yang memfokuskan kepada persekitaran dan penggunaan tenaga yang bersih bagi pengangkutan awam, maka kerajaan negeri telah memutuskan untuk menukar daripada penggunaan bas diesel kepada eBas.

    “eBas adalah teknologi baharu dan maju yang akan diperkenalkan di Sarawak,” katanya.

    Bagi mendapatkan maklumat lengkap tentang teknologi terkini berkenaan,katanya, kajian kebolehlaksanaan dan perbincangan akan dibuat dengan teliti oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak bersama agensi berkaitan untuk menentukan bilangan eBas yang akan digunakan.

    “Ini juga untuk memastikan keberkesanan dan kecekapan pelaksanaan keseluruhannya dalam jangka panjang,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Dijangka Mula Guna eBas Pertengahan Tahun Depan "