• Sarawak Bakal Menjadi Negeri Pertama Menggunakan myBas Elektrik Sepenuhnya

    Published: Sunday, 11 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Naib Ketua Wanita Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bersatu Sarawak, PBB, Dato' Sri Hajah Nancy Shukri mengulas kenyataan Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan beliau semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam yang menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk memenuhi permintaan Sarawak dalam membina pelbagai lagi projek pembangunan di negeri ini.

    Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata penggunaan bas elektrik di Kuching yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg misalnya, yang kini sedang di peringkat perbincangan bagi membolehkan ia dilaksanakan menerusi projek perintis Skim Transformasi Bas Henti-Henti atau Stage Bus Services Transformation (SBST).

    Dato' Sri Hajah Nancy berkata, semalam beliau menerima kunjungan daripada Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak (MIDT), Datu Safri Hj Zainuddin dan Dr Abdullah Zaidel dari Pejabat Ketua Menteri Sarawak dan Henry Lau yang mewakili Konsortium BBK Sdn Bhd.

    Menurut beliau, perjanjian perkhidmatan pelaksanaan projek SBST yang telah ditandatangani November lalu perlu dipinda bagi membolehkan Kerajaan Pusat menyediakan kemudahan yang dapat menyokong penggunaan kuasa elektrik terhadap kesemua 90 buah bas yang akan menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar, kampung ke bandar di seluruh Kuching.

    "Perjanjian yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dan operator rangkaian iaitu Konsortium Bas Bandaraya Kuching (KBBK) Sdn Bhd pada November lalu perlu dipinda kerana Sarawak memerlukan jumlah peruntukan yang baru untuk memulakan operasi kesemua 90 myBas elektrik yang termasuk pembangunan infrastruktur yang mampu menyokong penggunaan myBas elektrik termasuk pembinaan stesen pengecas bas elektrik."

    Mengikut perjanjian asal, Kerajaan Pusat memperuntukkan sejumlah RM50 juta setahun untuk menyediakan perkhidmatan bas berhenti-henti di 27 laluan yang terpilih meliputi lebih 10 juta km setahun.

    Menurut Dato' Sri Hajah Nancy lagi, peruntukan baru perlu dipohon kerana ia turut melibatkan perubahan pada spesifikasi saiz bas yang telah ditetapkan memandangkan terdapat laluan yang agak sempit memerlukan bas yang bersaiz lebih kecil.

    Justeru, beliau meminta Kerajaan Sarawak untuk mengemukakan surat rasmi bagi membolehkan beliau memanjangkan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu.

    Katanya, sekiranya segalanya berjalan lancar, Sarawak bakal menjadi negeri pertama yang menggunakan myBas elektrik sepenuhnya dan dijangka beroperasi Januari tahun depan. - Sarawakiana

  • No Comment to " Sarawak Bakal Menjadi Negeri Pertama Menggunakan myBas Elektrik Sepenuhnya "