• Saran Tubuh Jabatan Keselamatan Aktiviti Air

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menu­buhkan Jabatan Keselamatan Aktiviti Air dalam usaha menangani kes-kes kematian akibat lemas.

    Sambil mencadangkan jabatan khas itu perlu diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah sedemikian amat penting berikutan kes kematian akibat lemas kerap berlaku sejak kebelakangan ini dan dikhuatiri bakal menimbulkan kebimbangan dalam kala­ngan masyarakat.

    Katanya, secara purata, kira-kira 700 kes lemas dilaporkan berlaku di seluruh negara setiap tahun atau lebih kurang dua kematian setiap hari.

    “Misalnya, sembilan orang termasuk lima daripada keluarga yang sama mati lemas dalam tiga kejadian tragis berasingan di Kelantan, Terengganu dan Sela­ngor, Jumaat lalu. Saya bimbang insiden itu akan menjadi serius seperti kes kematian di jalan raya yang meragut antara 6,000 hingga 7,000 nyawa setiap tahun sekiranya langkah drastik tidak diambil.

    “Malangnya, kita tidak mempunyai penguat kuasa undang-undang khas bagi mengurangkan kes lemas dan ramai yang tidak menyedarinya. Apa yang ada hanyalah MKAA yang objektif utamanya meningkatkan kesedaran keselamatan air, me­nganjurkan kempen pendidikan mengenai keselamatan air, menggalakkan pembelajaran renang serta pelbagai aktiviti lain berkaitan keselamatan air.

    “Kita sebenarnya memerlukan sebuah jabatan khas (Jabatan Keselamatan Aktiviti Air) untuk merancang, menguatkuasa, me­rangka strategi dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan lemas,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini, hari ini.

    Dalam pada itu, Lam Thye berkata, kerajaan perlu mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempu­nyai bidang kuasa ke atas aktiviti air mengambil langkah drastik mengelakkan kes-kes lemas.

    “Ini termasuk audit keselamatan yang kerap di kawasan aktiviti air, papan tanda yang mencukupi untuk memberi amaran kepada orang ramai tentang zon bahaya dan membina pagar di kawasan lombong terbiar.

    “Mereka juga perlu menyediakan anggota penyelamat di kawasan rekreasi air yang menjadi tumpuan orang ramai dan merangka pelan tindakan kecemasan seperti dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

    Selain itu, menurut beliau, program kesedaran mengenai keselamatan aktiviti air juga perlu diperhebatkan di seluruh negara.

    Katanya, kematian akibat lemas sebenarnya boleh dicegah terutama melibatkan keluarga dan remaja yang pergi bercuti atau melakukan aktiviti luar.

    “Kita mempunyai banyak pantai, air terjun, tasik, sungai dan taman tema air yang menarik pelawat tempatan dan asing tetapi ramai yang tidak menyedari bahaya yang ada.

    “Orang ramai harus memahami dan mematuhi amaran ditetapkan oleh pihak berkuasa. Bendera putih yang dinaikkan di menara tinjau pasukan penyelamat bermakna keadaan laut selamat untuk berenang dan melakukan aktiviti air manakala bendera merah merupakan amaran kepada semua untuk menjauhkan diri daripada kawasan air,” ujarnya.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Saran Tubuh Jabatan Keselamatan Aktiviti Air "