• Saman Menteri Diputuskan Bulan Depan

    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+
    KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, akan membuat keputusan bulan depan sama ada saman fitnah difailkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap akhbar tempatan Daily Express, boleh didengar di Sabah.

    Hakim Ravinthran Paramaguru dalam prosiding kes itu hari ini menetapkan 1 Mac depan untuk membuat keputusan.

    Paramaguru turut memerintahkan kedua-dua pemohon semakan kehakiman iaitu peguam Marcel Jude Joseph dan tiga responden menyedia dan memfailkan hujahan bertulis berkaitan perkara itu.

    Marcel yang secara sukarela memohon semakan kehakiman itu menamakan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur sebagai responden pertama, Ismail Sabri sebagai responden kedua dan Messrs Kesavan Advocates and Solicitors sebagai responden ketiga.

    "Hakim akan membuat keputusan selepas menyemak hujahan bertulis mengenai sama ada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu ada kuasa dalam perkara yang dibuat Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur," katanya ditemui pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini.

    Tahun lalu, Ismail memfailkan saman terhadap akhbar berpangkalan di Sabah itu berhubung satu artikel yang diterbitkan antara 24 Januari 2015 dan 9 September 2015 berkaitan kontrovesi telur penyu yang dihidangkan dalam satu majlis UMNO di Beluran.

    Ismail yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO memfailkan saman itu melalui Messrs Kesavan dengan menamakan Sabah Publishing Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan editor Daily Express, James Sarda sebagai defendan kedua.

    Berdasarkan laporan akhbar, Ismail mendakwa artikel itu seolah-olah menunjukkan beliau tidak bertanggungjawab, tidak menghormati Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1967 dan tidak mempedulikan proses siasatan.

    Baru-baru ini, Ismail dilapor mengarahkan peguamnya untuk meneruskan kes itu selepas arahan terbaru mahkamah bahawa kes itu sepatutnya didengar di Kuala Lumpur dan bukannya di Kota Kinabalu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Saman Menteri Diputuskan Bulan Depan "