• Rohingya: Asean diminta berwaspada perang gerila serantau

    Reporter: Admin
    Published: Saturday, 10 February 2018
    A- A+

    PETALING JAYA: Sebuah badan hak asasi manusia memberi amaran kepada Asean tentang krisis keselamatan serantau kecuali mereka mengetepikan dasar tidak campurtangan untuk menangani dakwaan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar.

    Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, yang mempengerusikan kumpulan Ahli-Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia, baru-baru ini bercakap kepada FMT tentang peningkatan penentangan Rohingya terhadap kerajaan Myanmar dan beliau khuatir penentangan akan melarat menjadi perang gerila yang akan merebak ke negara Asean lain.

    Beliau berkata Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (Arsa) sedang berbincang dengan kumpulan Rohingya lain tentang meningkatkan usaha penentangan mereka.

    “Arsa berpotensi untuk mengurus dan memulakan satu perang gerila melawan Myanmar di Rakhine,” katanya.

    Beliau berkata kelompok Rohingya ada di serata Asean dan perang seperti itu boleh merebak ke Thailand, Malaysia dan Indonesia kerana berdekatan dengan Myanmar.

    Beliau berkata Asean mesti menggantung dasar tidak campurtangan bagi menghalang masalah itu.

    “Dengan berdiam diri dan cuba mengambil peluang, Asean mungkin secara tidak sengaja meletakkan persatuan itu dalam bahaya dalam jangka masa panjang.”

    Beliau mencadangkan Asean menggunakan pengaruh antarabangsanya untuk mengenakan sekatan senjata terhadap Myanmar, dan berkata pembekal utama senjata rejim itu ialah China dan India.

    Beliau menyeru sekatan terarah terhadap pemimpin-pemimpin tentera yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai yang didakwa itu. “Mereka harus didorong mematuhi undang-undang,” katanya.

    Bulan lepas, Santiago mengetuai perwakilan Ahli-Ahli Parlimen Asean melawat kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh.

    Beliau memberitahu FMT kumpulan itu mendengar banyak kisah ngeri.

    “Kumpulan pelarian pertama yang kami temui terdiri daripada 6-7 wanita yang berkongsi cerita bagaimana mereka kehilangan tanah masing-masing dan diperkosa. Ada seorang wanita itu dirogol 5 anggota polis.

    “Kami juga bertemu seorang lelaki yang dibunuh oleh tentera. Isterinya dirogol semasa dia masih memegang anak mereka. Jadi askar itu menyembelih anak itu dan terus memperkosa isterinya.

    “Paling buruk ialah satu kampung di Rakhine dihapuskan. Orang kampung berbaris di tebing sungai dan ditembak.”

    Bangladesh dan Myanmar menandatangani satu perjanjian pelan menghantar pulang tetapi Santiago berkata pelarian enggan pulang.

    “Mereka mahu jaminan perkara yang sama tidak akan berlaku lagi,” katanya. “Mereka mahu kewarganegaraan dan diiktiraf sebagai Rohingya dan kebebasan beragama. Mereka mahu pampasan untuk kehilangan nyawa dan tanah.

    “Tanpa semua itu, tiada siapa mahu pulang. Mereka sedang buat bantahan dan kamu boleh nampak tunjuk perasaan itu di kem-kem pelarian.”

    Beliau berkata ribuan Rohingya sedang menuju ke Bangladesh. “Sebelum ini berpuluh ribu. Sekarang ratusan ribu yang melarikan diri. Ini bermakna keganasan sedang berlaku ketika saat ini.”

    Beliau berkata Myanmar menyetujui pelan hantar pulang hanya kerana desakan masyarakat antarabangsa. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Rohingya: Asean diminta berwaspada perang gerila serantau "