• RM420,000 Untuk Hospital, Klinik Di Selangor

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    SHAH ALAM: Sebanyak RM420,000 diperuntukkan oleh Kementerian Kesihatan kepada 12 hospital dan 60 klinik kesihatan di Selangor bagi membiayai aktiviti kemasyarakatan bersama-sama penduduk setempat sepanjang tahun ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, bantuan itu disalurkan kepada Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan di seluruh negeri ini dan ia akan terus dimasukkan ke akaun masing-masing.

    "Bantuan kewangan ini untuk pembiayaan aktiviti mereka yang dijalankan bagi menghubungkan masyarakat dengan klinik dan hospital kerajaan.

    "Antara aktivitinya untuk tujuan kebajikan, membina landskap bagi menceriakan hospital dan klinik, terpulang kepada kreativiti jawatankuasa itu. Jika ada lebihan wang ia boleh digunakan untuk penyelenggaraan seperti menggantikan pendingin hawa di hospital bagi memberikan keselesaan kepada pesakit," katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Zailan Adnan.

    Dr Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan gembira dan berpuas hati kerana dapat membantu pihak yang dilantik sebagai penghubung KKM dengan masyarakat menerusi bantuan itu.

    "Kami seronok dapat salurkan bantuan ini tetapi pada masa sama mereka boleh menerima sumbangan dari pihak lain untuk hospital dan klinik kerajaan terutamanya jika mereka aktif maka banyak bantuan diperolehi," katanya.

    Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa menekankan agar doktor di klinik memberikan taklimat khusus kepada Ahli Lembaga Pelawat mengenai penyakit tidak berjangkit tetapi semakin menular.

    "Mereka boleh membantu pihak hospital dengan membuat hebahan kepada masyarakat bagaimana hendak mengawal penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya yang semakin menular dalam masyarakat," katanya.

    Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi turut mengingatkan orang ramai agar segera ke hospital dan klinik kerajaan jika digigit anjing bagi mengelak dijangkiti wabak rabies.

    "Kami nasihatkan kepada individu yang digigit anjing, terus bersihkan bahagian luka dan segera ke hospital atau klinik kerajaan untuk diberikan suntikan vaksin secepat mungkin.

    "Sekiranya ke klinik biasa, wajib merujuk hospital kerajaan. Itu peraturan wajib Kementerian Kesihatan kerana sudah ada kes dimana selepas mendapat rawatan di klinik, terus balik rumah dan dua bulan kemudian disahkan dijangkiti penyakit itu," katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan jangkitan wabak rabies terhadap manusia masih terkawal.

    "Kes kematian di Kuching, Sarawak itu membabitkan pesakit yang sebelum ini dikesan dijangkiti wabak berkenaan.

    "Mangsa antara tujuh pesakit yang dimasukkan di hospital di negeri berkenaan akibat wabak berkenaan sejak Jun lalu," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " RM420,000 Untuk Hospital, Klinik Di Selangor "