• Rezeki Tambahan Musim Bubuk

    Published: Saturday, 3 February 2018
    A- A+
    KOTA KINABALU: Walaupun bermusim antara Disember hingga Mac, kehadiran udang geragau atau dikenali bubuk dalam kalangan masyarakat tempatan memberi pendapatan tambahan kepada nelayan daerah ini.

    Nelayan sekitar bandar raya dan kawasan berhampiran pastinya tidak melepaskan peluang menangkap dan menjual hidupan bubuk setiap kali tiba musimnya berikutan permintaan tinggi daripada penggemar hidupan laut itu.

    Tinjauan di pantai Tanjung Lipat, Likas di pinggir bandar raya ini mendapati bubuk antara hasil laut paling banyak diperoleh nelayan tradisional selain ikan, udang dan ketam.

    Lamin Saban, 56, berkata dia memang turun ke laut setiap hari bagi memukat ikan atau udang untuk dijual selain untuk kegunaan sendiri sejak beberapa tahun lalu namun tahun ini kali pertama cubaannya 'memburu' bubuk.

    "Kali pertama menangkap bubuk tak sangka saya mampu meraih hampir 10 kilogram (kg) hidupan laut itu setiap hari. Rutin harian saya bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi bagi mendapatkan bubuk.

    "Saya tidak menjual bubuk di tepi jalan sekitar kawasan ini seperti nelayan lain kerana memiliki pelanggan tetap yang sering meminta bubuk dalam kuantiti banyak untuk dijadikan belacan dan cencaluk.

    "Bagaimanapun, sekiranya ada pelanggan yang datang untuk membeli bubuk ketika saya berada di sini, saya tetap menjualnya dengan harga RM5 satu plastik," katanya.

    Remaja berumur 15 tahun, Romano Hassan, berkata bubuk boleh ditemui di beberapa pantai di daerah ini tetapi makanan laut berwarna kemerah-merahan itu lebih mudah diperoleh kawasan pantai Tanjung Lipat.

    Sering turun ke laut bersama abang dan sahabatnya, Romano berkata, bubuk mudah ditangkap menggunakan alat buatan sendiri dikenali sebagai sorong-sorong.

    "Alat ini diperbuat daripada dua batang kayu dan bahagian atas sorong-sorong perlu diletakkan dalam keadaan bersilang agar lebih mudah digunakan.

    "Hujung alat ini pula diletakkan paip polimer yang dibentuk melengkung supaya memudahkan proses menangkap bubuk.

    "Akhir sekali, kelambu dijahit pada pertengahan alat. Penggunaan kelambu lebih sesuai berbanding pukat atau jala sedia ada di pasaran kerana memiliki lubang jaring yang sangat kecil, sesuai dengan saiz bubuk," katanya mampu mendapat sehingga 50kg bubuk dalam sehari.

    Selain menjual bubuk secara basah dan segar, Romano turut memasarkan bubuk yang sudah dikeringkan yang mampu bertahan lama beberapa tahun jika disimpan dalam peti sejuk.

    Selain dijadikan belacan atau cencaluk, bubuk sering dijadikan bahan campuran dalam masakan seperti mi dan nasi goreng serta sayur, selain sedap dibuat cucur untuk sarapan pagi mahupun minum petang. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rezeki Tambahan Musim Bubuk "