• Rangka Pelan Perolehan Sijil Halal Kepada Pengusaha PKS

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+
    PASIR PUTEH: Kerajaan Pusat sedang merangka pelan bagi mempergiatkan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan sijil halal dalam usaha mengembangkan produk ke peringkat antarabangsa.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ramai pengusaha PKS di negara ini berpotensi memasarkan produk sehingga ke luar negara, namun terhalang disebabkan persijilan halal.

    "Kerajaan sedang merangka satu pelan kerjasama dengan Majlis Agama Islam peringkat negeri untuk membantu PKS mendapatkan sijil halal untuk produk yang mempunyai keupayaan pasaran antarabangsa.

    "Kita perlu menjadi pemudah cara untuk perolehan persijilan halal tanpa sedikit pun mengurangkan piawaian kerana ia diiktiraf di peringkat antarabangsa.

    "Kita tidak boleh kurangkan piawaian tetapi tingkatkan kapasiti dan kualiti pengusaha PKS dalam negara," katanya pada sidang media sempena Fiesta Sehati@RTM di perkarangan Kompleks Uthmaniyah di sini, sebentar tadi.

    Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, ada segelintir yang menganggap Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) berkuasa penuh mengeluarkan sijil halal tetapi sebenarnya kuasa itu terletak di bawah Majlis Agama Islam Negeri.

    Terdahulu beliau merasmikan majlis 'Temu Mato' pesawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin, Semerak bersama pemimpin dan pihak pengurusan Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani.

    Seramai 120 pesawah menerima insentif penanaman padi luar musim membabitkan 151 hektar tanah berjumlah RM302,700. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rangka Pelan Perolehan Sijil Halal Kepada Pengusaha PKS "