• Rampas Produk Makanan, Minuman Ada Kimia Larangan

    Published: Saturday, 3 February 2018
    A- A+
    SELAMA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan merampas produk makanan yang dijual di pasaran sekiranya didapati mengandungi racun atau bahan kimia terlarang.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata bagaimanapun, tindakan itu hanya akan dibuat selepas disahkan produk itu tidak selamat atau tidak mencapai standard kualiti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    "Kalau kita mendapati ada (pengusaha produk makanan) yang melakukan kesalahan, KPDNKK akan mengambil tindakan.

    "Ia sama seperti isu jualan susu rumusan bayi sebelum ini, kita sudah menghantarnya (kepada KKM) dan mendapat kebenaran untuk diambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Bayor, di sini hari ini.

    Hamzah mengulas isu kopi campuran yang didakwa menjadi punca beberapa lelaki dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) apabila mengalami sindrom letih, pening dan lemah selepas meminum kopi campuran.

    Dilaporkan, analisis sedang dilakukan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang bagi mengenal pasti sama ada kopi campuran itu mengandungi bahan kimia terlarang.

    Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, berkata KPDNKK memandang serius isu terbabit kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna.

    Katanya, isu produk makanan mempunyai racun atau bahan yang tidak dibenarkan bukan perkara baru dan ia berulang dalam masa yang singkat.

    Justeru, katanya, KPDNKK akan memantau dan memastikan produk berkaitan hanya dijual di pasaran selepas mendapat kelulusan KKM. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rampas Produk Makanan, Minuman Ada Kimia Larangan "