• Rakyat Malaysia Paling Ramai Melancong Ke Sumatera Barat

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    Foto: Tipsjalan.com
    PADANG (SUMATERA BARAT), 6 Feb (Bernama) -- Rakyat Malaysia mencatatkan kedatangan paling ramai ke Sumatera Barat, provinsi Indonesia yang terkenal dengan etnik Minangkabau dan masakan Padang itu.

    Menurut data Badan Pusat Statistik (BPS) Sumatera Barat, sebanyak 56,313 pelancong asing berkunjung ke Sumatera Barat tahun lepas dan 75 peratus daripadanya adalah dari Malaysia.

    Data itu merekodkan sepanjang 2017, sebanyak 44,201 rakyat Malaysia berkunjung ke Padang dan Bukit Tinggi di Sumatera Barat, diikuti pelancong dari Thailand (2,662 orang) dan Perancis (478 orang).

    Warga Malaysia turut dicatatkan sebagai pelancong utama ke Sumatera Barat sejak 2009.

    Gabenor Sumatera Barat Irwan Prayitno dipetik menerusi media dalam talian tempatan, berkata sambutan Hari Pers Nasional 2018 (HPN 2018) yang berlangsung di Padang bermula 7 hingga 9 Feb ini dilihat akan merancakkan lagi industri pelancongan di wilayah itu.

    HPN 2018 bakal menghimpunkan lebih 6,000 pengamal media dari seluruh Indonesia, serta jemputan delegasi wartawan dari Malaysia menerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang diterajui Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh.

    Irwan berkata pemilihan Padang sebagai tuan rumah kepada HPN 2018, menjadi platform kepada wilayah itu untuk mendapat publisiti yang lebih meluas daripada media dalam mempromosikan Sumatera Barat sebagai destinasi pelancongan menarik di Indonesia selain Bali, Jakarta dan Bandung.

    Presiden Indonesia Joko Widodo dijadual merasmikan HPN 2018 pada 9 Feb ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim turut diundang dan dijadual hadir ke HPN 2018.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia Paling Ramai Melancong Ke Sumatera Barat "