• Rafizi Masih Ahli Parlimen

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Kedudukan Rafizi Ramli sebagai Ahli Parlimen Pandan masih kekal sehingga semua proses perundangan yang berkaitan diselesaikan sepenuhnya.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata masih terlalu awal untuk badan itu membuat sebarang komen berhubung kedudukan dan kelayakan Rafizi, yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

    Beliau berkata, kedudukan beliau hanya akan menjadi muktamad selepas semua proses perundangan berkaitan diselesaikan sepenuhnya kerana Rafizi masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.

    "Justeru, terlalu awal untuk SPR memberi sebarang komen berhubung kedudukan beliau sama ada boleh atau tidak untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

    "Buat masa ini kedudukan beliau selaku Ahli Parlimen Pandan adalah kekal," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

    Terdahulu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Naib Presiden PKR itu selepas didapati bersalah terhadap tuduhan mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

    Hakim Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas kerani bank, Johari Mohamad, 47, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi, 41, bagi mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rafizi Masih Ahli Parlimen "