• Pusat Rehat Dan Jagaan Ibu Besalin Perlu Diwujudkan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pusat rehat dan jagaan untuk ibu yang baharu bersalin bersama bayi mereka, perlu lebih banyak diwujudkan di negeri ini.

    Ini kerana menurutnya, terdapat keperluan terhadap perkhidmatan seperti itu pada masa ini, terutama di kawasan bandar.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Fatimah turut berkata, keperluan terhadap perkhidmatan tersebut wujud disebabkan perubahan struktur keluarga di mana kebanyakan pasangan suami isteri sudah tinggal di rumah sendiri.

    “Dahulu banyak pasangan tinggal dengan keluarga dan apabila isteri bersalin, mereka dan bayi akan dijaga oleh ibu atau ibu mentua.

    “Tetapi sekarang terutama di bandar, pasangan lebih cenderung tinggal di rumah sendiri dan apabila beranak, si ibu dan bayinya akan berdepan masalah untuk dijaga.

    “Maka itu, wujud keperluan untuk perkhidmatan jagaan ibu yang baharu bersalin dan bayi mereka sekarang,” katanya.

    Beliau memuji inisiatif Tulip Mama House yang menjadi pusat rehat untuk ibu lepas bersalin dan penjagaan bayi yang pertama di Sarawak.

    Menurutnya lagi, Tulip Mama House menawarkan perkhidmatan penjagaan ibu lepas bersalin dan bayi menggunakan tenaga jururawat profesional, malah, ia turut dilengkapi dengan kamera litar tertutur (CCTV) dan sistem penggera sebagai langkah keselamatan yang ketat khususnya terhadap bayi yang ditempatkan di situ.

    Selain itu, katanya, Tulip Mama House juga menyediakan pelbagai keperluan untuk ibu dan bayi mereka termasuk dari segi nutrisi makanan.

    Fatimah menyeru agar pusat yang terletak berhampiran kawasan komersial 101 itu menekankan amalan penyusuan susu ibu untuk bayi masing-masing.

    “Kerajaan sekarang amat menekankan penyusuan susu ibu untuk bayi dan saya berharap Tulip Mama House akan dapat memberi tunjuk ajar khususnya kepada ibu yang pertama kali melahirkan anak,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Pusat Rehat Dan Jagaan Ibu Besalin Perlu Diwujudkan "