• Pusat Judi VIP Dikesan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Itulah antara daya penarik digunakan operator judi yang dikesan menawarkan aktiviti perjudian khusus bagi golongan atasan dalam persekitaran eksklusif di sekitar Lembah Klang.

    Berbeza dengan kebanyakan premis judi haram yang dibanteras Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini, premis yang boleh diibaratkan seperti pusat judi VIP itu beroperasi dan menawarkan perkhidmatan seperti kasino mewah.

    Malah majoriti pengunjungnya terdiri daripada golongan profesional, ahli perniagaan, kontraktor, selebriti termasuk ada yang bergelar Datuk.

    Hasil tinjauan Utusan Malaysia di beberapa premis seumpama mendapati aktivi­ti itu beroperasi dalam bangunan korporat dan kompleks berbanding premis judi haram yang menawarkan aktiviti mereka di lot-lot kedai.

    Menurut sumber, pusat judi tersebut bukan sahaja menyediakan lokasi yang selesa malah la­yanan ditawarkan kepada pengunjung umpama hotel lima bintang.

    “Hanya ahli dibenarkan bermain di pusat ini dan untuk menjadi ahli syaratnya ialah ahli baharu perlu diperkenalkan oleh ahli lama sebelum dapat didaftarkan di pusat berkenaan.

    “Malah taruhannya juga besar maka tidak mustahil ada pemain yang pernah membawa pulang sehingga RM500,000 satu malam,” ujarnya.

    Menggambarkan layanan isti­me­wa diberikan, sumber memberi­tahu, bukan sahaja makanan dan minuman disediakan bahkan pusat berkenaan menawarkan khidmat joki bagi meletakkan kenderaan.

    “Apabila tiba pemain yang tidak mahu bermain di kawasan terbuka boleh berjudi dalam bilik-bilik khas yang dilengkapi kemudahan WiFi, televisyen serta sofa termasuk tandas.

    “Mereka boleh minta apa sahaja untuk makan dan minum termasuk minuman keras tanpa sebarang bayaran. Kesemua pekerjanya juga berpakaian kemas sama seperti di kasino dan kebanyakan pelayan terdiri daripada wanita selain pengawal ke­selamatan,” katanya.

    Menyentuh jenis judi ditawarkan, sumber menjelaskan, pusat berkenaan menawarkan judi berkonsep ‘jackpot’ iaitu melalui mesin membabitkan dua permainan dikenali dengan ‘joker’ dan ‘ikan’.

    “Minimum taruhan adalah RM50 tetapi kebiasaannya semua pasti berhabis sehingga ribuan ringgit kerana mereka dalam kalangan berduit.

    “Pengunjung juga tidak perlu membawa tunai memandangkan mereka menyediakan mesin de­bit untuk memasukkan kredit taruhan dalam mesin judi,” katanya.-Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pusat Judi VIP Dikesan "