• PPBM: ROS Tingkat Siasatan - TPM

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meningkatkan proses siasatan termasuk melayani segala aduan berbangkit berhubung isu mesyuarat agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

    Timbalan Perdana Menteri berkata, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, bukan sekadar diarah memulakan tetapi juga meningkatkan siasatan terhadap aduan yang dikemukakan ahli parti berkenaan.

    "Beliau (Surayati) memaklumkan siasatan sudah dimulakan dan proses penelitian mungkin mengambil masa.

    "Langkah itu penting memandangkan kebolehpercayaan masyarakat terhadap ROS cukup tinggi kerana sifat ketelusan jabatan itu selama ini dalam melakukan siasatan terhadap pertubuhan dan badan politik," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

    Ditanya sama ada ROS boleh menyelesaikan aduan itu dalam tempoh dua minggu seperti gesaan ahli PPBM, kelmarin, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ia terserah kepada ROS.

    Baru-baru ini, ROS mengesahkan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 12 November tahun lalu mematuhi syarat diarahkan jabatan itu.

    Pemilihan semula CEC DAP dilaksanakan pada 12 November tahun lalu di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC).

    Mengenai tindakan ahli PPBM mengancam mengadakan protes di hadapan ibu pejabat ROS di sini, Ahmad Zahid berkata polis sentiasa bersedia memantau apa juga keadaan.

    Kelmarin, bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pusat, Mohamad Taufik Abas, mendakwa lebih 1,000 ahli PPBM sedia berhimpun di ibu pejabat ROS sebagai tanda protes jika tiada tindakan diambil terhadap parti itu yang dikatakan melanggar perlembagaan parti.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan ROS meneliti 249 aduan dikemukakan ahli PPBM di seluruh negara dengan 47 daripadanya mempunyai percanggahan dengan perlembagaan dan peraturan parti.

    Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan kepemimpinan PPBM supaya tidak menghujani ROS dengan pelbagai tuduhan jika jahil mengenai perlembagaan sendiri.

    Status mesyuarat agung tahunan (AGM) PPBM pada 30 Disember tahun lalu mendapat bantahan kumpulan ahli dan pemimpin parti berkenaan selepas dikatakan melanggar peraturan dan perlembagaan.

    Susulan itu, ROS memanggil Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, dan Ketua Pemudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bagi diambil keterangan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PPBM: ROS Tingkat Siasatan - TPM "