• PPBM Lemah, Tidak Layak Jadi Kerajaan - Mohd Amar

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+
    KOTA BHARU: Kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat lemah untuk menyelesaikan pergaduhan di dalam parti, terutama dalam isu pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekali gus tidak layak menjadi kerajaan.

    Naib Pesiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata rakyat sebagai pengundi sudah tentu berasa ragu-ragu untuk memilih pakatan pembangkang sebagai kerajaan kerana mereka tidak mempunyai sikap tolak ansur dan pemuafakatan dalam menguruskan parti.

    Beliau berkata, parti komponen dalam pakatan pembangkang juga masing-masing tamak untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dengan beranggapan mereka kuat dan boleh menang.

    "Belum jadi kerajaan lagi sudah bergaduh tentang kerusi secara terbuka dan tidak boleh diselesaikan, macam mana nak jadi kerajaan yang baik dan berkesan.

    "Pada peringkat awal sudah gagal, berbeza ketika PAS dalam Pakatan Rakyat sebelum ini kerana walaupun terdapat sedikit sebanyak masalah, namun ia dapat diselesaikan dengan baik," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

    Akhbar sebelum ini melaporkan sayap kepemimpinan PPBM Kota Bharu, hilang kepercayaan terhadap parti itu dan pakatan pembangkang, terutama dalam isu pengagihan kerusi menjelang PRU14.

    Naib Ketua PPBM Bahagian Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min, turut berpendapat parti itu sudah tiada masa depan dan tidak akan menang pada PRU14 dengan pelbagai masalah dihadapinya.

    Sementara itu, ditanya mengenai isu penarikan balik pingat kebesaran terhadap tiga ahli politik termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata semua pihak tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V kerana ia adalah hak Tuanku.

    "Berdasarkan pengalaman kita, Sultan Kelantan mempunyai penilaian dan maklumat sendiri. Sultan Kelantan mahu kurniakan (pingat) kepada siapa, dan mahu menarik balik, itu adalah hak Tuanku. Tidak sepatutnya kita pertikai," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PPBM Lemah, Tidak Layak Jadi Kerajaan - Mohd Amar "