• Polis Terjebak Positif Dadah

    Published: Saturday, 3 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Dua koperal polis antara 15 individu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan ke atas sebuah pusat karaoke di Taman Perindustrian Sekinchan, dekat sini, semalam.

    Kedua-dua anggota polis berusia 32 dan 45 tahun itu didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

    Dalam serbuan kira-kira 2 jam pagi itu, seramai 41 pengunjung dan pekerja pusat karaoke terbabit menjalani ujian saringan air kencing namun hanya 15 yang didapati positif dadah termasuk dua anggota polis terbabit.

    Difahamkan, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan berusia 35 tahun turut menjalani saringan namun keputusan didapati negatif.

    Menerusi serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bersama pasukan dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dan Urus Setia Narkotik Bukit Aman itu, lima wanita warga asing turut diselamatkan.

    Tiga wanita Vietnam dan dua wanita Thailand terbabit dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dengan dipaksa bekerja di pusat hiburan terbabit.

    Empat lelaki tempatan merangkumi majikan, ejen dan saksi turut ditahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) manakala enam pekerja warga Myanmar dan tiga wanita Vietnam ditahan mengikut Akta Imigresen.

    Sementara itu, lima orang ditahan kerana memiliki dadah jenis Erimin 5 dengan salah seorang turut dikesan memiliki dadah jenis Ecstasy.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan dua anggota polis terbabit dan memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut selari siasatan JIPS Bukit Aman. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Terjebak Positif Dadah "