• Polis Tahan Pesakit Mental Larikan Ambulans Dari Hospital

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+


    KUCHING - Seorang pesakit yang disyaki mempunyai masalah mental berjaya ditahan selepas melarikan sebuah ambulans dari Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.

    Suspek berusia 36 tahun dari Kampung Siol Kandis di sini diberkas kira-kira pukul 1.50 petang.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Abang Junaidi Abang Annuar ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut.

    Katanya, sebelum itu, suspek dikatakan telah dimasukkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan di situ semalam.

    "Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan sebuah ambulans milik pusat perubatan pakar swasta selepas petugas terbabit membawa pesakit masuk ke dalam HUS kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

    "Namun, selepas sejam memburu suspek, pasukan polis kemudian menemui ambulans terbabit ditinggalkan di tepi Jalan Green berhampiran Wisma Saberkas di sini," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

    Mengulas lanjut, Abang Junaidi memberitahu, menyedari dirinya diburu polis, suspek bertindak keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri ke dalam pusat membeli belah di Wisma Saberkas.

    "Usaha suspek untuk meloloskan diri daripada polis gagal apabila dia ditahan di kawasan HUS.

    "Kita syaki suspek berlari semula ke HUS dari pusat membeli belah itu sebelum dia berjaya diberkas," katanya lagi. - K! ONLINE
  • No Comment to " Polis Tahan Pesakit Mental Larikan Ambulans Dari Hospital "