• Polis Tahan Lelaki Indonesia Disyaki Bunuh Isteri

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+

    SANDAKAN – Polis menahan seorang lelaki warganegara Indonesia selepas disyaki membunuh isterinya di rumah mereka di Kampung Sandak Batu 10 dekat sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Azhar Mohd. Hamin berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di sebuah rumah ladang kelapa sawit di Jalan Settlement Batu 12 dekat sini pada pukul 6.30 pagi tadi.


    Beliau berkata, kejadian kira-kira 8 malam itu berlaku selepas isterinya cuba meleraikan pergaduhan antara suaminya dan seorang anak mereka.

    "Lelaki itu disyaki menendang, menolak serta menghempas isterinya yang berusia 38 tahun itu ke lantai rumah sehingga kepalanya terhentak menyebankan dia tidak sedarkan diri.

    "Mangsa yang juga warganegara Indonesia dibawa ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan oleh jiran-jirannya namun meninggal dunia pada 9.20 malam semasa menerima rawatan," katanya di sini.

    Menurutnya, selepas kejadian itu, lelaki berkenaan dan anak-anaknya melarikan diri daripada rumah berkenaan.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Tahan Lelaki Indonesia Disyaki Bunuh Isteri "