• Polis Tahan Lelaki Bantu Bekas Pemimpin Gereja Singapura

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+

    SINGAPURA: Polis menangkap seorang lelaki warga negara Malaysia kerana disyaki terbabit membantu bekas pemimpin City Harvest Church, Chew Eng Han yang cuba melarikan diri dari republik ini, lapor Channel NewsAsia.

    Memetik Pasukan Polis Singapura (SPF), laporan itu berkata Khoo Kea Leng, 45, ditangkap di Malaysia dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas Mahkamah Negara Singapura mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

    Khoo diserahkan kepada SPF, semalam dan akan dihadapkan ke mahkamah Rabu ini, kata laporan itu.

    Menurut Channel NewsAsia, Chew, 57, dihadapkan ke mahkamah pada 22 Februari dengan pertuduhan cuba melarikan diri dari negara ini dari Pulau Ubin dengan sebuah sampan bermotor pada 21 Februari lalu.

    Laporan itu juga menyatakan, dia dikenakan ikat jamin S$1 juta (S$1>RM2.96) dan dikehendaki menyerah diri pada 22 Februari untuk mula menjalani hukuman penjara tiga tahun empat bulan kerana menyelewengkan dana gereja berjumlah S$50 juta.

    Menurut laporan itu lagi, perbuatan Chew adalah penipuan dana amal membabitkan jumlah terbesar dalam sejarah Singapura.

    Seorang lagi lelaki, Tan Poh Teck, 53, yang mengendalikan sampan berkenaan, juga ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

    Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis SPF, Hsu Sin Yun, berkata Khoo tidak mungkin dapat ditangkap tanpa wujudnya kerjasama rapat dan hubungan kukuh antara SPF dan PDRM.

    "SPF akan berusaha habis-habisan memburu penjenayah yang melakukan jenayah di Singapura. Kami akan bekerjasama dengan rakan penguatkuasaan undang-undang dari negara asing untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan," kata Hsu yang dipetik laporan itu.

    Sementara itu di JOHOR BAHRU, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan pada pukul 8.05 pagi, semalam oleh Bahagian Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

    "Tangkapan ini adalah bagi melaksanakan waran tangkap Polis Singapura yang dikeluarkan pada 23 Februari oleh Mahkamah Singapura," kata beliau dalam satu kenyataan di sini malam ini.

    Menurut beliau, tangkapan itu adalah berkaitan pembabitan suspek atas kesalahan di bawah Seksyen 57 (1) (b) Akta Imigresen dan Seksyen 57 (1) (ii) Akta Imigresen, Singapura, iaitu berrsubahat/membantu untuk mengeluarkan seseorang lain dari negara Singapura dengan jalan tidak sah.

    "Suspek telah diserahkan kepada Polis Singapura pada 12 tengah hari semalam," kata Mohd Khalil.

    Beliau juga berharap agar kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dengan SPF seumpama ini akan terus terjalin erat bagi kepentingan bersama. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Tahan Lelaki Bantu Bekas Pemimpin Gereja Singapura "