• Polis Tahan Geng 36, Rampas Dadah RM2.35 juta

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah bernilai RM2.35 juta selepas menyerbu makmal di Rembau, Negeri Sembilan serta menahan 12 anggota Geng 36 di Negeri Sembilan dan Selangor kelmarin.

    Serbuan pertama membabitkan sebuah premis di bekas ladang lembu dekat Jalan Pilin, Kampung Kundur Tengah, Pedas yang disyaki dijadikan makmal pemprosesan dadah jenis syabu jam 4.15 petang kelmarin.

    Sumber polis berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Kajang dibantu JSJN Bukit Aman.

    "Pada serbuan pertama, dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga India ditahan sebelum pemeriksaan lanjut menemui cecair disyaki dadah jenis Meth oil dianggarkan seberat 84 kilogram (kg).

    "Polis turut merampas cecair disyaki bahan kimia, dianggarkan berat 635.19 kg, serbuk disyaki bahan kimia percusors dianggarkan berat 120.37 kg, pelbagai peralatan memproses dadah syabu termasuk satu 'boiler' ciptaan khas, dan merampas sebuah kereta Perodua Myvi," katanya ketika dihubungi.

    Sumber berkata, susulan serbuan itu, polis menahan seorang lelaki di tepi Jalan dekat Bandar Teknologi, Kajang, bersama kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

    "Polis menemui lapan kotak mengandungi bekas plastik berisi ethanol Absolute dan Asid Hidraulik seberat 87.6 liter, tiga guni mengandungi serbuk seberat 71.10 kg serta lima tong plastik mengandungi cecair seberat 253.5 kg.

    "Kami kemudian menahan tiga lagi lelaki di Bandar Teknologi Kajang. Manakala seorang lagi ditahan di Taman Sungai Jelok, Kajang. Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di Batu Caves, Selangor.

    "Serbuan terakhir di tempat letak kereta pusat beli-belah dekat Taman Cempaka, Ampang, seorang lelaki bersama kereta Perodua Myvi ditahan bersama dua kotak mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki Ephirdrine 26.52 kg," katanya.

    Beliau berkata, keseluruhan tangkapan membabitkan 11 lelaki dan seorang wanita berusia dari 23 hingga 33 tahun yang dipercayai ahli kumpulan Geng 36.

    Beliau berkata, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Tahan Geng 36, Rampas Dadah RM2.35 juta "