• Polis Kuching Adakan Latihan Demonstrasi Rusuhan PRU14

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+
    KUCHING, 2 Feb (Bernama) -- Lebih 100 anggota polis daripada Unit Light Strike Force (LFS) dan Public Order Riot Unit (PORU) dibantu oleh pasukan Unit Trafik, Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mengadakan sesi latihan demonstrasi rusuhan di perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuching Supt Abang Ahmad Abang Julai berkata adalah menjadi peranan polis untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan rusuhan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

    "Sebelum ini, latihan lebih kepada 'paper move' yang mana kita (polis) berada di bilik gerakan, diberikan satu senario dan apakah tindakan yang perlu diambil dengan memaklumkan kepada pihak yang berkenaan.

    "Hari ini, latihan lebih kepada amali dan situasi sebenar yang mana kita mendapat maklumat tentang satu kejadian rusuhan berlaku di tempat penamaan calon," katanya dan menambah latihan itu juga bertujuan memantapkan kemahiran anggota polis bagi menghadapi kemungkinan rusuhan fizikal.

    Seramai 1,022 anggota polis di seluruh Kuching akan bersiap sedia untuk menghadapi PRU14, 70 peratus petugas khas untuk pilihan raya manakala 30 peratus lagi menjalankan tugasan harian.

    -- BERNAMA
  • No Comment to " Polis Kuching Adakan Latihan Demonstrasi Rusuhan PRU14 "