• Polis Israel syor Netanyahu dikenakan pertuduhan rasuah

    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+

    JERUSALEM: Polis Israel pada Selasa mengesyorkan agar pertuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah dikenakan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam dua kes berasingan, lapor agensi berita China Xinhua.

    Selepas menjalankan siasatan selama sebulan, polis telah menyerahkan syor mereka kepada Peguam Negara Israel, Avichai Mandelblit, yang akan memutuskan sama ada perdana menteri itu perlu didakwa atau sebaliknya.

    Dalam satu kenyataan rasmi, polis menyebut mereka telah merumuskan bahawa terdapat "bukti yang mencukupi" terhadap Netanyahu dalam kedua-dua kes.

    Dalam kes pertama, yang digelar polis sebagai "kes 1000," Netanyahu didakwa telah menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan Israel dan taikun Hollywood, Arnon Milchan, serta seorang ahli perniagaan Australia, James Packer.

    Polis berkata antara tahun 2007 dan 2016, Netanyahu dan keluarganya telah menerima barangan berupa cerut mahal, champagne dan barang kemas bernilai kira-kira sejuta shekel (US$282,800).

    Susulan pemilihan semula Netanyahu sebagai perdana menteri pada 2009, "skop dan kekerapan pemindahan barangan terbabit semakin meningkat dengan ketara," menurut kenyataan itu.

    Sebagai balasan, Netanyahu didakwa telah mendekati pegawai Amerika Syarikat (AS) dan meminta mereka melanjutkan visa Milchan ke AS.

    Beliau turut didakwa mempromosi satu undang-undang yang memberikan pengecualian cukai kepada penduduk Israel yang kembali ke tanah air selepas tinggal di luar negara lebih 10 tahun, dikenali sebagai "Rang Undang-Undang Milchan," selain membantu Milchan mempromosi pelaburannya dalam media Israel.

    Dalam satu lagi kes, digelar "kes 2000," Netanyahu didakwa menerima rasuah daripada Arnon Mozes, penerbit Yedioth Aharonoth, yang merupakan antara akhbar terbesar Israel.

    Polis berkata Netanyahu dan Mozes telah mengadakan rundingan berkaitan satu "perjanjian pertukaran," yang menyaksikan Netanyahu akan diberi liputan yang memuaskan oleh Yediot Aharonot sebagai balasan mempromosi undang-undang itu dan langkah-langkah lain yang akan mengehadkan pengedaran Israel Hayom, pesaing utama Yedioth.

    Netanyahu berkata beliau tidak bersalah dalam sebuah kenyataan video yang disiarkan dalam semua saluran utama di negara itu dan menerusi halaman Facebooknya.

    Beliau mendakwa polis telah melakukan siasatan itu dalam usaha untuk menggulingkannya.

    Anggota parlimen pembangkang telah menggesa Netanyahu meletak jawatan kerana mendakwa beliau tidak mampu melakukan tugasannya kerana berdepan dengan kecurigaan yang serius.

    Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Netanyahu berkata beliau akan meletak jawatan sekiranya beliau didapati bersalah oleh mahkamah.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Israel syor Netanyahu dikenakan pertuduhan rasuah "