• Pimpinan PPBM Gagal Jawab Dua Isu Utama

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Sunday, 18 February 2018
    A- A+
    GURUN: Ahli Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) cawangan Bedong dalam Parlimen Jerai di sini, melahirkan kekecewaan terhadap pucuk kepemimpinan parti itu, yang dilihat gagal memberi penjelasan terhadap dua isu utama membelenggu pemimpinnya.

    Dua isu itu adalah berhubung dakwaan kekayaan luar biasa keluarga Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan skandal Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan isteri orang.

    Kekecewaan itu diluahkan kira-kira 50 ahli Armada PPBM cawangan Bedong terhadap pimpinan parti yang sehingga kini dilihat seolah-olah lepas tangan membabitkan dua isu berkenaan.

    Ketuanya, Muhamad Nurudin Naina Mohd, berkata beliau menganggap PPBM sebagai sebuah parti politik hipokrit apabila hanya mahu dilihat sebagai organisasi yang positif, namun hakikatnya ada isu yang enggan dijawab.

    Beliau berkata, kegagalan mereka menjelaskan dua isu berkenaan menyebabkan pihaknya malu dan terhina untuk berdepan dengan akar umbi berikutan sering ditanya mengenai perkara terbabit.

    "Kami ingin meluahkan rasa kurang senang kerana pertanyaan terhadap dua isu itu kepada pucuk pimpinan di Jerai serta rakan di peringkat negeri mendapat jawapan lepas tangan dan kami percaya sebenarnya mereka pun tidak tahu bagaimana untuk menjawab isu terbabit.

    "Lebih mengecewakan apabila isu itu langsung tidak disentuh dua pemimpin terbabit ketika persidangan perwakilan PPBM yang berlangsung akhir tahun lalu, meskipun perkara ini sudah dimainkan pihak tertentu sejak awal lagi.

    "Kami akan bertugas di akar umbi ketika pilihan raya nanti, jadi apa yang kami akan jawab bila pengundi bertanya mengenai isu ini?" katanya pada sidang media 'PPBM Jangan Pecat Kami', di sini hari ini.

    Pada sidang media itu, seramai 11 pemimpin Armada PPBM cawangan Bedong mewakili 50 ahlinya tampil melahirkan kekecewaan itu.

    Pada masa sama, Muhamad Nurudin mendakwa, pihaknya tidak berniat mensabotaj PPBM yang disertai mereka sejak dua tahun lalu, namun terpaksa mengambil jalan ini berikutan tiada saluran lain untuk mendapatkan jawapan berhubung isu terbabit.

    "Kami harap soalan yang kami tanya ini tidak menyebabkan kami dipecat walaupun pada minggu lalu kami melihat seolah-olah ada ugutan daripada Datuk Kamaruddin Md Noor (Ketua Penerangan PPBM) yang melarang ahli dari bercakap dengan media.

    "Kami ingin bertanya, kalau suara kami tak didengari, pada siapa lagi kami nak luahkan? Tentu saja kami akan rujuk pada media...kalau jumpa pemimpin bahagian pun akan cakap benda baik saja pasal parti, " katanya.

    Beliau berkata, pemimpin PPBM seharusnya mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menuduh berhubung skandal bersama isteri orang, jika ia ternyata tidak benar.

    Namun, jika tuduhan itu benar, ujarnya, Muhyiddin perlu memohon mohon maaf bagi membuktikan parti itu mengamalkan sikap jujur.

    "Tentu ada rakyat yang boleh terima jika pun Presiden terlibat (dalam skandal)...Tun Mahathir dahulu (ketika berkuasa) pun dipanggil dengan pelbagai gelaran pun ada yang boleh cium tangannya balik.

    "Kami malu bila ada ahli parti lain menyindir bahawa keluarga Tun Mahathir terjumpa harta karun ketika beliau menjadi Perdana Menteri sejak 1981 hingga 2003.

    "Kami akui keluarga Tun Mahathir memang sangat kaya cuma kami ingin tahu adakah sememangnya beliau terdiri daripada keluarga hartawan sebelum 1981 atau keturunan orang kaya Diraja?," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pimpinan PPBM Gagal Jawab Dua Isu Utama "