• Pilih Kerajaan Yang Jaga Rakyat, Bukannya Parti Yang Ada Agenda Peribadi

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berpesan kepada rakyat supaya membuat pilihan yang tepat dengan memilih pihak yang diyakini boleh mentadbir negara. Meskipun pesanan beliau dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri itu kelihatan ringkas sahaja namun ia mempunyai makna yang cukup besar.

    Pesanan yang penuh bermakna itu juga dibuat beliau memandangkan tahun 2018 adalah penting buat rakyat untuk membuat keputusan yang betul. Justeru sebagai rakyat Malaysia, ambillah ikhtibar daripada pesanan beliau.

    Senang cerita, jangan pilih Pakatan Harapan (PH) yang penuh dengan drama. Apa tidaknya belum lagi memerintah negara, sudah banyak cerita keburukan mereka didedahkan oleh pemimpin PH sendiri disebabkan tiada kesefahaman dalam parti.

    Sebagai contoh pergolakan Pakatan Harapan di beberapa negeri termasuk di Pulau Pinang dan Selangor. Setakat ini, mereka masih bergaduh mengenai pembahagian kerusi.

    Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) masih baru namun sudah pandai memilih-milih. Kerusi yang menjadi sasaran sudah pasti kerusi milik PKR iaitu kerusi yang selamat.

    Jika di Negeri Sembilan ketidakpuasaan itu sampai ke tahap mahu membaling kerusi akibat tidak puas hati dengan pengumuman pembahagian kerusi, di Selangor pula perang mulut sudah berlaku.

    Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali kini menjadi sasaran serangan segenap pelusuk. Di Pulau Pinang pula, kemaraan PAS yang dijangka bertanding 20 kerusi, telah menjadi igauan buruk bagi Ketua Menteri Lim Guan Eng yang kini terpalit dengan skandal rasuah pembelian rumah di bawah harga pasaran dan kes terowong yang sedang hangat diperkatakan.

    Walaupun pengerusi Pakatan Harapan, Mahathir Mohamad menafikan berlaku perang besar, namun kuasa media sosial tidak boleh dinafikan.

    Bagaimana Mahathir sendiri mahu menyelesaikannya jika beliau sendiri dihimpit dengan isu-isu lama yang kembali menghantuinya seperti kehilangan lebih RM30 bilion hasil urus niaga matawang asing (Forex) oleh Bank Negara pada awal 90-an dan Tragedi Memali.

    Mat Sabu pun pernah maki Mahathir sebagai PM yang penakut dan kaki gaduh dengan semua orang. Lihat video ini :

    https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1661053327322950&id=1122306847864270

    Malah keceluparan mulut Mahathir juga mengakibatkan Pakatan Harapan terkena tempiasnya.

    Bandingkan pula dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Najib. Beliau yang juga Menteri Kewangan berjaya mentadbir negara dengan mencapai banyak kejayaan dan terbaru, Forum Ekonomi Dunia yang meletakkan Malaysia sebagai negara Asia terbaik dalam Indeks Pembangunan Inklusif (IDI).

    Malaysia berada pada nombor 13 di dunia dan satu di Asia, manakala China di tempat ke-25 dan India nombor 62.

    Bukan itu sahaja, nilai Ringgit turut mengukuh dengan melepasi paras psikologi RM4 pada 5 Januari lepas dan menjadi antara mata wang yang mencatat prestasi terbaik di dunia.

    Dulu Mahathir sengaja menakutkan rakyat dengan menyatakan nilai ringgit hanya akan kukuh jika Najib meletak jawatan, kini terbukti ianya tidak benar.

    Bursa Saham catat untung tertinggi sejak 2017. Tuduhan Mydin bahawa ekonomi negara tidak baik adalah tidak tepat. Bursa Malaysia melaporkan penyertaan pelabur runcit berkembang 41% di Malaysia.

    Selain itu, pembangkang juga membuat tohmahan bahawa Malaysia adalah negara yang gagal dan bankrap. Ternyata itu semua adalah fitnah. Kini pembangkang sudah tidak lagi menggunakan Malaysia akan bankrap sebagai slogan kerana mereka sendiri akur dengan kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

    Jadi kepada rakyat Malaysia, buatlah penilaian yang betul. Janganlah memilih PH hanya disebabkan nostalgia terhadap Mahathir. Zaman pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri 22 tahun lalu sudah berlalu.

    Beliau kini sudah tua. Usianya juga sudah 93 tahun dan digelar oleh ramai sebagai dinasour yang menunggu masa untuk tersungkur.

    Nilailah pemerintahan Najib dengan mengukur kejayaan yang dibawa oleh beliau. Tengoklah bagaimana pembangunan dilaksanakan beliau.

    Lihatlah bagaimana Najib memberikan era baru kepada sistem pengangkutan awam di negara ini serta menjadikan ekonomi Malaysia kekal berdaya saing tatkala pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.

    Jadi bukalah hati dan minta. Lihatlah dengan fakta yang ada, jangan perjudikan nasib negara dengan mendengar momokan fitnah daripada pembangkang. Pilih kerajaan yang mahu jaga rakyat bukannya parti yang mahu kuasa untuk anak dan kroni mereka.


    Tulisan :
    Beruang Biru
    BB768, Selasa
    6 Februari 2018

    Subjects:

  • No Comment to " Pilih Kerajaan Yang Jaga Rakyat, Bukannya Parti Yang Ada Agenda Peribadi "