• Pikul Tanggungjawab Dan Beri Komitment Tinggi -Fatimah

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Legasi kepimpinan Tan Sri Empiang Jabu dalam menjawat jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak lebih tiga puluh tahun merupakan satu standard kepimpinan yang begitu tinggi.

    Ketua Wanita PBB baru Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, untuk meneruskan apa yang ditinggalkan oleh Tan Sri Empiang adalah satu tanggungjawab besar yang memerlukan komitmen yang tinggi.

    "Menyedari kepimpinan itu adalah satu tanggungjawab, saya dengan redha akan memikul tanggungjawab itu dengan penuh komitmen.

    "Saya akan memikul amanah yang besar ini seperti mana kepercayaan diberi kepada saya untuk memimpin pergerakan ini," katanya ketika sidang media di Perhimpunan Agung PBB ke-14 pagi tadi.

    Jelasnya, beliau amat sedar untuk menyambung legasi yang ditinggalkan Empiang adalah satu cabaran yang besar.

    "Pergerakkan wanita PBB akan menyambung legasi kepimpinan Empiang ialah untuk memastikan perpaduan dalam PBB terus kukuh.

    "PBB merupakan parti yang disegani ramai disebabkan PBB terus kukuh, kekal kuat, kekal teguh dan kekal relevan.

    "Kami dari pergerakan wanita akan memastikan perpaduan terus utuh bukan sekadar diperingkat majlis tertinggi tetapi juga di peringkat ranting dan akar umbi," ujarnya.

    Tambahnya, ahli parti seharusnya saling menyokong antara satu sama lain seperti amanat yang diberi oleh presiden parti.

    "Dalam PBB baik Pesaka mahupun Bumiputera perlu bekerjasama dan sokong menyokong antara satu sama lain.

    "Itulah agenda utama pergerakan wanita dalam PBB," jelasnya.

    Tambahnya lagi agenda besar pergerakan wanita adalah memastikan setiap ahli PBB tetap kekal bersama PBB dan tidak goyah dan terus bersama PBB selamanya.

    "Disamping itu, mendaftar ahli dan pengundi baru terus dilaksanakan untuk memastikan kelangsungan parti," katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Pikul Tanggungjawab Dan Beri Komitment Tinggi -Fatimah "