• PH Tanding PRU-14 Guna Satu Logo Parti Sekutu

    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+


    PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan empat parti sekutu dalam gabungan itu akan bertanding menggunakan satu logo atau simbol pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Keputusan itu akan menyaksikan calon PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo atau simbol salah satu daripada empat parti itu.

    Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dicapai berikutan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sehingga kini tidak memberi jawapan terhadap permintaan untuk PH didaftar sebagai gabungan parti pembangkang yang sah.

    Katanya, mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini menumpukan kepada isu ROS gagal menjawab permintaan untuk PH didaftarkan walaupun gabungan itu sudah mengemukakan permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perintah supaya jabatan itu menjawab permohonan mendaftarkan gabungan berkenaan.

    Beliau yang juga Pengerusi PPBM berkata, semua parti sudah menyatakan kesediaan membenarkan logo atau simbol parti masing-masing digunakan, namun kepemimpinan gabungan itu belum memutuskan logo atau simbol parti mana yang akan digunakan calon bagi mewakili PH.

    "Kita harap mahkamah akan memberikan pandangan terhadap keengganan ROS itu. Buat masa ini , kita buat keputusan, PH akan menggunakan satu logo saja dalam PRU-14.

    "Ini keputusan kita iaitu semua parti akan guna logo sama, sama ada diluluskan atau tidak (oleh ROS), kita akan tetap guna satu logo sebagai identiti dalam PRU akan datang," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Galeri PPBM, Menara Yayasan Selangor di sini, hari ini.

    Hadir sama Presiden PKR, Datin Ser Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sementara itu, wujud juga kemungkinan calon PH akan bertanding di bawah tiket PKR berikutan PPBM masih berdepan isu tindakan ROS yang didakwa melengah-lengahkan proses pengesahan status mesyuarat tahunan (AGM) parti itu.

    Difahamkan adalah mustahil calon PH akan bertanding menggunakan tiket DAP kerana mungkin boleh mengurangkan sokongan pengundi Melayu, manakala Amanah berdepan isu parti baharu, sekali gus sukar untuk menarik sokongan pengundi.

    Mengulas isu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr Mahathir berkata, pengagihan kerusi dalam kalangan parti sekutu hampir selesai dan pihaknya akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " PH Tanding PRU-14 Guna Satu Logo Parti Sekutu "