• Petronas Tandatangan Kontrak Bekal LNG Ke India

    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: PETRONAS melalui anak syarikatnya, PETRONAS LNG Ltd (PLL) menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan H-Energy Mideast DMCC (HEMD), bagi membekalkan gas asli cecair (LNG) ke India.

    Menerusi perjanjian itu, ia sekali gus merekodkan kejayaan bagi PLL dalam mendapatkan kontrak pertama LNG di pasaran India.

    HEMD berpangkalan di Dubai dan anak syarikat milik penuh H-Energy Global Limited, iaitu sebahagian daripada Hiranandani Group.

    Syarikat berkenaan kini menumpukan kepada pemerolehan bekalan dan perdagangan LNG, minyak mentah, produk petroleum dan petrokimia.

    Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PLL, Ezhar Yazid Jaafar, berkata perjanjian itu selari dengan strategi pertumbuhan PETRONAS dalam memperluaskan bekalan LNG dan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat ke atas tenaga bersih dan boleh dipercayai dalam ekonomi keempat paling pesat berkembang di dunia itu.

    "Sebagai penggiat LNG ketiga terbesar dunia, PETRONAS diperakui sebagai pembekal LNG yang boleh dipercayai dan fleksibel, beroperasi dari pangkalan bekalan utama syarikat di Bintulu, Sarawak," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Perjanjian SPA itu ditandatangani pada 24 Januari lalu yang membabitkan Ezhar Yazid dan Ketua Pegawai Eksekutif HEMD, Darshan Hiranandani.

    PETRONAS, yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam LNG, kini sudah mempelbagaikan portfolio bekalan LNG sejak beberapa tahun lalu dengan memasukkan Australia Gladstone LNG dan kemudahan LNG terapung pertama di dunia (PFLNG Satu). - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Petronas Tandatangan Kontrak Bekal LNG Ke India "