• Petronas Dagangan Buka Gudang Minyak Pelincir Di Pengerang

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+
    KOTA TINGGI, 5 Feb (Bernama) -- Petronas Dagangan Berhad (PDB) menerusi anak syarikatnya Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pembekal minyak pelincir negara menerusi pembukaan sebuah gudang operasi dan penyimpanan bahan itu di Pengerang, hari ini.

    Pembinaan gudang bermula Julai 2017 dan beroperasi pada September lepas, menelan kos sebanyak RM350,000.

    Kemudahan seluas 325.16 meter persegi itu mampu menempatkan lebih daripada 100 tong minyak pelincir yang setiap satunya seberat 209 liter.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata pihaknya turut melantik Koperasi Pemuda Patriot Pengerang Kota Tinggi Berhad (KOPETRI) sebagai rakan kongsi bagi mengendalikan gudang tersebut.

    "Sejak dilantik pada September lepas, KOPETRI telah merekodkan jumlah jualan sebanyak RM180,000 setakat Disember lalu dan dijangka mencecah RM1.5 juta pada tahun ini," katanya pada sidang media bersempena majlis perasmian gudang itu di Kampung Bukit Raja, di sini.

    Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

    Mengulas lanjut, Mohd Ibrahimnuddin berkata lokasi gudang yang hanya lima kilometer dari projek PIC, diyakini akan mengukuhkan lagi jualan bahan pelincir itu di daerah berkenaan selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

    Terdahulu, Mohamed Khaled dalam teks ucapan perasmian yang dibacakan Hasni, menyifatkan pembukaan gudang itu bertepatan dengan usaha kerajaan negeri bagi mensejahterakan sosioekonomi penduduk seiring kepesatan pembangunan di PIC.

    Malah, beliau yakin hasil sokongan pelbagai pihak termasuk Petronas sendiri, akan menyaksikan Pengerang muncul sebagai hab pembangunan industri hiliran minyak dan gas bagi merangsang pembangunan sosioekonomi setempat.

    Sementara itu, Pengerusi Kopetri, Aznan Tamin berkata gudang yang berkapasiti membekalkan sehingga 400 tong minyak pelincir setiap bulan yang bernilai antara RM300,000 hingga RM400,000 bagi kegunaan kenderaan komersial dan mesin industri berat di PIC.

    Minyak pelincir itu termasuk dalam bentuk minyak gear, enjin, dan hidraulik yang menggunakan jenama Petronas Urania. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Petronas Dagangan Buka Gudang Minyak Pelincir Di Pengerang "