• Petani Guna Aplikasi Telefon Kawal Tanaman

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Sunday, 18 February 2018
    A- A+
    AYE YWAR, Myanmar: Seorang petani di sini, mengawal serangan serangga di sawah padi dengan bantuan aplikasi percuma dalam telefon pintar miliknya sejak dua tahun lalu.

    San San Hla, 35, menggunakan aplikasi yang dikenali sebagai 'Green Way' untuk mendapatkan nasihat yang tepat mengenai cara penggunaan racun serangga, dengan bangga membuktikan kemenangannya dalam berdepan serangan pada musim panas itu.

    "Kami sangat terbiasa dengan kaedah menanam padi yang diwarisi daripada ibu bapa.

    "Tetapi selepas menggunakan aplikasi ini, saya mula memahami bagaimana seharusnya kami melakukannya.

    "Lebih baik menggunakan teknik yang betul daripada hanya bekerja secara membabi-buta," katanya kepada AFP ketika ditemui di Kampung Aye Ywar di barat Yangon.

    Petani wanita ini adalah antara kelompok petani lama, yang melakukan perubahan dengan menggunakan teknologi untuk berdepan jurang pengetahuan di negara yang dua pertiga tenaga kerjanya menceburi bidang pertanian.

    Sektor itu menyumbang 28 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi hasilnya rendah hanya kerana kekangan petani menggunakan teknologi moden sepanjang pemerintahan junta.

    Aplikasi itu adalah hasil ilham dua bekas pelajar pertanian pada 2011 yang menubuhkan laman web untuk membantu petani. Mereka sentiasa memastikan maklumat diperbaharui.

    Hasil usaha mereka ini sudah tentu menjadi jawapan kepada petani seperti San San Hla. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Petani Guna Aplikasi Telefon Kawal Tanaman "