• Pesta 'Goyang' Dadah

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+

    ANJUR pesta ‘goyang’ pelbagai jenis dadah dengan pelanggan pusat hiburan diberi pilihan memilih ganja, ekstasi, eramin 5 atau ketamin.

    Itu antara kegiatan jenayah dilakukan penganjur secara bebas hingga awal pagi di sebuah pusat hiburan di Sungai Besi di sini.

    Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan polis daerah Cheras menyerbu premis itu 2 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, premis itu dikesan menjalankan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

    Menurutnya, seramai 50 individu yang berada di dalam pusat hiburan itu ditahan untuk pemeriksaan membabitkan 36 lelaki dan 14 wanita.

    "Susulan itu empat lelaki dan empat wanita ditahan kerana memiliki dadah manakala tujuh lagi individu didapati positif mengambil dadah.

    "Hasil pemeriksaan, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya ganja, pil eramin 5 dan ekstasi pelbagai warna," katanya.

    Selain itu polis turut merampas berpuluh peket minuman kecil pelbagai perisa buah-buahan yang sudah dicampur dengan dadah ekstasi.

    "Antara peket dadah dirampas memiliki perisa jus mangga, coklat, teh lemon dan pelbagai perisa lain.

    "Siasatan mendapati premis itu tidak mempunyai lesen pusat hiburan yang sah," katanya.

    Menurutnya, semua ditahan disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pesta 'Goyang' Dadah "