• Pesawat Penumpang Terhempas Di Iran

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+


    TEHRAN – Sebuah pesawat membawa lebih 50 penumpang terhempas di pergunungan Zagros, Iran, kata ketua perkhidmatan kecemasan negara itu kepada media.

    Pir Hossein Koolivand memberitahu agensi berita Fars, “Pesawat itu terhempas di kawasan Semirom dan semua perkhidmatan kecemasan diletakkan dalam keadaan bersedia.

    “Pesawat membawa 50 hingga 60 penumpang,” katanya.

    Kapal terbang itu dilaporkan terbang dari Tehran ke pekan Yasuj di wilayah Isfahan. Semirom terletak di rantau barat daya Iran, kira-kira 480 kilometer di selatan ibu negaranya.

    Ketua Suruhanjaya Keselamatan Kebangsaan dan Dasar Luar Parlimen, Aladin Borujderdi turut mengesahkan kejadian itu kepada agensi berita separa rasmi, ISNA.

    “Pesawat ATR Penerbangan Aseman membawa 60 penumpang dan enam anak kapal hilang dari radar pagi ini.

    “Pemerhatian pihak kami di kawasan itu mendapati ia terhempas,” katanya.

    Jurucakap perkhidmatan keselamatan kebangsaan, Mojtaba Khaledi mengesahkan kepada ISNA, helikopter sudah dihantar ke kawasan itu.

    “Berdasarkan beberapa faktor di wilayah ini, kami menghadapi kesulitan untuk ke tempat kemalangan – sekali gus tidak dapat mengesahkan dengan tepat angka korban pesawat berkenaan,” kata ketua perhubungan awam Aseman, Mohammad Tabatabaie pada agensi berita ISNA. – AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Pesawat Penumpang Terhempas Di Iran "