• Perubahan Sistem Pendidikan Untuk Hadapi Cabaran IR4.0 - PM Najib

    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan mungkin menyelaraskan sistem pendidikan dalam usaha menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Perdana Menteri berkata ia dapat dicapai jika kerajaan terus memperoleh mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

    "Ini adalah satu daripada keutamaan saya dan selepas PRU, dengan mandat rakyat, kita perlu mengkaji perkara ini dengan teliti dan mungkin membuat perubahan," kata beliau pada sesi 'town hall' dengan kakitangan Axiata dan Celcom di Axiata Arena di Bukit Jalil di sini, hari ini.

    Najib berkata langkah sedemikian akan memastikan generasi akan datang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi IR4.0.

    Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group Berhad Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

    Semasa ditanya mengenai agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50), Najib berkata tempoh 30 tahun mulai 2020 adalah mencukupi untuk membawa kesan kepada perubahan dan menyaksikan pencapaian cemerlang masa depan.

    Mengenai perkara lain, perdana menteri berkata rakyat Malaysia terus menghormati satu sama lain bagi mengukuhkan lagi perpaduan di negara ini.

    Kita perlu memupuk nilai-nilai teras tertentu seperti belajar berinteraksi dengan satu sama lain dan belajar menghormati satu sama lain supaya Malaysia dapat mencapai kemajuan sebagai sebuah negara yang harmoni.

    Jika kita dapat mewujudkan lebih banyak detik-detik perpaduan, kita boleh mengukuhkan perpaduan dan kita perlu memerangi sebarang bentuk ekstremisme, kata beliau.

    Ketika ditanya mengenai kebimbangan berhubung kos sara hidup yang semakin meningkat, Najib berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu itu.

    Beliau berkata antara lain, kerajaan memperkenalkan program untuk memenuhi keperluan rakyat seperti menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia ( KR1M) 2.0, Jualan Sentuhan Rakyat serta melaksanakan sistem pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) dan pelbagai skim subsidi. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Perubahan Sistem Pendidikan Untuk Hadapi Cabaran IR4.0 - PM Najib "