• Pertikai Pemimpin BN Beri BR1M

    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+


    SEREMBAN – Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan kerajaan adalah sesuatu yang baik, cuma cara penyampaian melalui pemimpin BN itu yang perlu dipertikaikan.

    Pengerusi DAP Negeri, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya mempertikaikan cara penyampaian BR1M itu dilakukan melalui pemimpin BN, sedangkan wang itu bukan daripada BN sebaliknya adalah hasil negara.

    Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya gunakan pemimpin BN untuk sampaikan baucar mahupun wang BR1M kepada penerima, kerana itu bukan duit BN.

    “Kerajaan sepatutnya menggunakan kaedah memasukkan terus melalui perbankan, bukan melalui majlis dianjurkan pemimpin BN.

    “Kita tidak pertikaikan pemberian bantuan ini, sebaliknya cara penyampaian itu yang kita pertikaikan dan persoalkan,” katanya kepada Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan bahawa BR1M bukan bersifat kepartian, dan tiada motif politik.

    Siew Fook yang juga merupakan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan berkata, walaupun pemberian terus melalui akaun telah dilaksanakan, namun masih ada kawasan yang menganjurkan majlis untuk penyampaian pemberian BR1M.

    Tambahnya, kerajaan BN sengaja mengelirukan rakyat dan memancing undi dengan menggunakan pemimpin setempat BN menyampaikan pemberian tersebut.

    “Kesian kepada orang kampung yang sudah tua terpaksa beratur panjang semata-mata untuk dapatkan duit BR1M, padahal kerajaan boleh sahaja memasukkan terus ke akaun penerima, tidak perlu mereka beratur panjang seperti yang berlaku di Pekan, Pahang semalam.

    “Cara penyampaian yang salah itu hanya untuk kepentingan politik mereka (BN) sahaja,” katanya. - Sinar

    Subjects:

  • No Comment to " Pertikai Pemimpin BN Beri BR1M "