• Persefahaman Mampu Bantu Lonjak Pembangunan Negeri

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+
    KUCHING : Masyarakat berbilang kaum di Sarawak pada hakikatnya mempunyai persamaan dalam sejarah dan kesenian yang diamalkan dalam kebudayaan masing-masing.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, buktinya terdapat persamaan dalam kesenian budaya masyarakat adalah melalui penggunaan gong.

    "Tiap-tiap masyarakat di nusantara terutama masyarakat Sarawak mempunyai fungsi yang amat mendalam mengenai penggunaan gong.

    "Masyarakat Melayu kesultanan apabila hendak mengeluarkan isyarat turut menggunakan gong.

    "Begitu juga masyarakat Iban jika mengadakan majlis perkahwinan turut menggunakan gong sebagai alat utama majlis tersebut dan begitu juga masyarakat Orang Ulu," katanya di Majlis Perasmian Kongres Seni Sarawak 2018.

    Jelasnya, gong bermakna titik-titik pertemuan kebudayaan seni yang mempunyai latar belakang yang berlainan.

    "Dari sudut seni ini bermakna masyarakat di negeri ini mempunyai persamaan.

    "Apabila kita faham asas persamaan ini, maka akan wujudlah keharmonian di antara kita seperti kata pepatah Melayu, cubit paha kanan, paha kiri pun terasa," ujarnya.

    Tambah Abang Johari, inilah kekayaan yang ada pada budaya masyarakat negeri ini dan kerajaan komited menekankan kekayaan budaya disamping ekonomi digital.

    "Kedua-duanya begitu penting kerana ia mencerminkan identiti budaya bangsa kita yang boleh memberi perhubungan yang erat di antara kita.

    "Dan akhirnya kita dapat mewujudkan keharmonian di kalangan masyarakat negeri Sarawak," tegasnya.

    Tegas Abang Jo lagi, kalau memiliki asas keharmonian ini, negeri ini dapat bergerak kepada dasar-dasar yang dapat memberi kesan kepada masyarakat keseluruhannya.

    "Kerajaan akan menekankan kedua aspek ini kerana memiliki banyak wang pun tanpa adanya budaya, tidak akan melambang kekayaannya.

    "Begitu juga jika banyak budaya tanpa adanya wang, kita tidak akan dapat mengembangkannya," ujarnya lagi.

    Katanya, kedua-kedua elemen tersebut harus diberi penekanan kerana negeri ini mesti hidup dengan pengaruh lampau dan masakini yang boleh digunakan masa hadapan dan akhirnya dapat mempertahankan identiti bangsa Sarawak.

    "Dan dengan ini bila kesefahaman erat sudah wujud di kalangan masyarakat negeri ini, maka akan membangun dari sudut ekonomi dan kesenian kebudayaannya.

    "Sarawak akan menjadi model negeri perpaduan yang akan menjadi contoh kepada negeri dan negara lain.

    "Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melihat negeri Sarawak sebagai contoh negeri perpaduan yang terbaik," jelasnya.

    Tambahnya lagi, sebab itulah jika adanya kesefahaman ini, Sarawak akan terus melonjak pembangunan ke arah lebih baik lagi. - Sarawakiana


  • No Comment to " Persefahaman Mampu Bantu Lonjak Pembangunan Negeri "