• Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan Sah Berdaftar Pada 15 Januari 2018

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+
    Penasihat PDMK Fadlullah Abdullah

    KUCHING : Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan (PDMK) telah lulus pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 15 Januari 2018.

    Penasihat PDMK Fadlullah Abdullah berkata, objektif penubuhan PDMK adalah untuk mengangkat martabat Dayak Muslim (DM) dari pelbagai aspek kehidupan.

    "Idea ini bermula ketika seminar Dayak Muslim Kebangsaan di Melaka pada 24 Disember 2017 yang lalu.

    "Saya berasa bersyukur PDMK telah diluluskan pendaftaran dan kini ia merupakan sebuah pertubuhan yang sah," katanya ketika dihubungi Sarawakiana.

    Katanya lagi, PDMK berperanan untuk menghimpun seluruh masyarakat Dayak Muslim sepertimana Persatuan Cina Islam Malaysia lakukan.

    "Pada masa sama, PDMK turut berperanan mencari titik penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi DM dan mengangkat perkara tersebut kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

    "Ianya juga medium suara rasmi DM dalam memberi fikrah ataupun pendirian dalam pelbagai isu berbangkit samada diperingkat negeri atau persekutuan.

    "PDMK hanya sebuah pertubuhan yang bukan bermotifkan politik dan sama sekali tidak akan melibatkan politik," ujarnya.

    Tambah Fadlullah, buat masa ini usaha untuk mewujudkan Persatuan Dayak Muslim Sarawak sedang giat dilakukan dan menyeru agar lebih ramai DM negeri ini akan mendaftar sebagai ahli.

    " Banyak manfaatnya jika ramai mendaftar menjadi ahli.

    "PDMK turut mengalu-alukan pandangan dan pendapat dari orang ramai supaya persatuan akan lebih mantap dan relevan mengikut aliran masa," jelasnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan Sah Berdaftar Pada 15 Januari 2018 "