• Perompak Larikan Barang Kemas RM720,000

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+


    PETALING JAYA: Sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara di sini, kerugian RM720,000 selepas dirompak tiga lelaki bersenjatakan sepucuk pistol, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.47 pagi, tiga suspek yang menaiki sebuah PERODUA Myvi berwarna putih, dilihat berlari masuk melalui satu daripada pintu utama pasar raya itu ke kedai emas yang terletak berhampiran.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata perompak melarikan lapan dulang emas dianggarkan bernilai RM720,000 dalam kejadian itu.

    "Suspek disyaki tiga lelaki tempatan dengan seorang daripadanya menggunakan senjata api dipercayai jenis Revolver 3.8.

    "Suspek mengacukan senjata api ke arah pengawal keselamatan kedai emas itu dan merampas senapang (pump gun) pengawal keselamatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pada masa sama, katanya, dua lagi suspek mengambil lapan dulang barang kemas yang diletakkan di ruang pameran luar kedai terbabit.

    "Dalam tempoh beberapa minit kemudian, kesemua suspek melarikan diri dan mencampakkan pump gun di kawasan letak kereta di luar bangunan pasar raya berkenaan.

    "Semakan mendapati nombor pendaftaran VA 8247 pada kereta Myvi digunakan suspek adalah palsu," katanya.

    Sementara itu, seorang saksi hanya mahu dikenali sebagai Rahim yang bekerja di kedai berhampiran, berkata dirinya nampak tiga lelaki memakai topeng muka, berlari ke arah kedai emas berkenaan.

    "Keadaan menjadi panik dan kecoh apabila pekerja kedai berhampiran serta pengunjung menjerit ketakutan dan lari menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

    Difahamkan, kejadian rompakan itu adalah kali kedua berlaku di kedai emas terbabit dalam tempoh tiga bulan dengan kejadian pertama pada November tahun lalu membabitkan kerugian RM1.1 juta.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Perompak Larikan Barang Kemas RM720,000 "