• Permohonan pengundian pos dalam negara kini dibuka

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA - Warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan termasuk dalam kategori-kategori Pengundi Pos Dalam Negara seperti yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh memohon undi pos hari ini.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, kategori mereka yang layak untuk memohon kemudahan mengundi melalui pos adalah mereka disahkan oleh majikan yang perlu bertugas pada hari mengundi.

    “Mereka yang layak ialah petugas pilihan raya, polis dan tentera yang tidak dapat hadir mengundi awal, petugas media, anggota Maritim Malaysia , anggota Jabatan Penjara Malaysia, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, anggota dan petugas Jabatan Kesihatan di hospital dan klinik kerajaan sahaja serta anggota Sukarelawan Polis.

    “Selain itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), anggota Jabatan Imigresen Malaysia, anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara, anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

    Hashim berkata, mereka yang termasuk dalam kategori petugas pilihan raya, polis dan tentera yang tidak dapat hadir mengundi awal serta petugas media boleh memohon kemudahan mengundi melalui pos menggunakan Borang 1A.

    “Bagi mereka yang termasuk dalam senarai anggota Maritim Malaysia hingga anggota JPN di UTC boleh memohon dengan menggunakan Borang 1C. SPR telah memuat naik Borang 1A dan Borang 1C pada laman web SPR di www.spr.gov.my,” jelas beliau.

    Selain daripada itu, garis panduan untuk mengisi borang berkenaan juga boleh dimuat turun dari laman web SPR dan permohonan melalui Borang 1A yang telah diisi lengkap hendaklah dihantar ke Pejabat-Pejabat Pegawai Pengurus di Bahagian Pilihan Raya masing-masing.

    “Setiap permohonan yang diterima akan diproses dan pemohon akan dimaklumkan oleh SPR mengenai status permohonan mereka itu sama ada diluluskan atau sebaliknya,” kata beliau.

    Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88810081 atau emel ke upup@spr.gov.my. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Permohonan pengundian pos dalam negara kini dibuka "