• Percaya Ibu Kena Sihir, Lelaki Tikam Bapa Saudara

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+

    Hanya disebabkan percaya ibunya terkena sihir sehingga menderita sejenis penyakit, seorang lelaki tergamak menikam bapa saudaranya sehingga mati di rumah mangsa di Kampung Sembulan Lama kira-kira pukul 7 petang semalam.

    Selepas menikam mangsa bertubi-tubi, suspek berusia 30-an yang dipercayai menghidap masalah mental itu kemudian berjalan kaki kira-kira dua kilometer menuju ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi memaklumkan kepada pihak polis tentang tindakannya dan menyerah diri.

    Menurut sumber, suspek turut menyerahkan senjata tajam yang digunakan menikam Abdul Razi Bahadum, 56, kepada polis sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa itu di mana lokasi kejadian.

    Suspek dipercayai berang selepas percaya ibunya disihir yang menyebabkan dia terlantar sakit di rumah mereka.

    Berikutan itu, suspek yang juga rakyat tempatan telah menunggu mangsa di rumahnya dan sebaik tiba, mangsa ditikam bertubi-tubi di leher dan dagu menyebabkan dia mati di tempat kejadian,” katanya kepada Utusan Online, di sini malam tadi.

    Sumber tersebut berkata, suspek telah ditahan dan siasatan awal mendapati dia mempunyai rekod kesalahan lampu membabitkan penyalahgunaan dadah.

    Sementara itu, setakat ini, pasukan forensik polis masih berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

    Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra turut berada di lokasi berkenaan, namun masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa itu. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Percaya Ibu Kena Sihir, Lelaki Tikam Bapa Saudara "