• Penyukatan Perimeter NCR Dipercepat - Awang Tengah

    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan negeri akan mempercepatkan penyukatan perimeter melibatkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

    Memetik laporan The Borneo Post, beliau berkata, fasa pertama penyukatan perimeter melibatkan tanah NCR yang sah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak manakala fasa kedua melibatkan lot individu yang dijalankan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

    Kedua-dua fasa tersebut dilaksanakan di bawah Program Inisiatif Baharu Penyukatan Tanah NCR.

    Tambahnya, peringkat awal program tersebut menyaksikan kerajaan negeri berdepan pelbagai cabaran kerana orang ramai meragui inisiatif berkenaan selain terpengaruh dengan hasutan pembangkang.

    "Bagaimanapun, dengan komitmen dan keikhlasan kerajaan negeri, sekarang kita menerima sokongan kuat untuk program ini. Situasi sekarang amat menggalakkan," katanya.

    Menurutnya, ia terbukti apabila 822,374 hektar berjaya disukat.

    Daripada jumlah tersebut katanya, 656,373 hektar sudah digazet manakala 17,015 lot individu melibatkan kawasan seluas 20,169 hektar disukat dan 6,652 lot melibatkan 6,898 hektar tanah dikeluarkan geran di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.-Sarawakiana



  • No Comment to " Penyukatan Perimeter NCR Dipercepat - Awang Tengah "