• Peningkatan Kes Salah Laku Pelajar Perlu Ditangani Bersama

    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+


    Bagi melahirkan modal insan yang lebih berkualiti sekaligus mengurangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar, semua pihak harus menggembleng tenaga dalam menjayakan usaha berkenaan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Selain itu, peranan Pegawai Perhubungan Sekolah turut perlu dioptimumkan serta memperkasakan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah.

    “Dalam konteks ini ibu bapa, guru serta ahli komuniti perlu memainkan peranan penting dan perlu menjalinkan kerjasama bagi membentuk sahsiah murid,” ujarnya lagi.

    Menurut Mahdzir lagi, bagi menyokong usaha tersebut, kementeriannya mengambil inisatif dengan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal masalah disiplin pelajar.

    “Ini bukan perkara baru, ini adalah permuafakatan lama, ia merupakan salah satu teras utama dalam kolaborasi terhadap perhubungan di sekolah. Ada polis yang akan membuat lawatan di sekolah, membuat perbincangan dengan guru disiplin tentang hal yang berkaitan dengan masalah disiplin.

    “Kita ada inisaitif yang ke 110 untuk mengurangkan masalah disiplin di sekolah. Kurangkan masalah sekolah hotspot yang ada kaitan dengan jenayah, jadi kita nak tengok dengan kerjasama ini kita nak lihat ada pengurangan ke tidak, “katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan sahsiah Murid di Putrajaya, Isnin.

    Seminar tersebut adalah program julung kali diadakan dengan penglibatan PDRM.

    Ia adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan 11 anjakan yang memberi imoak dan menghasilkan pembaharuan yang dihasratkan rakyat Malaysia.

    Dalam hal ini, Mahdzir berkata semua pihak perlu memandang serius terhadap disiplin dan sahsiah pelajar sekolah berikutan peningkatan jumlah melakukan kesalahan disiplin daripada 111,895 pada 2016 kepada 117,721 pada tahun lalu.

    Berikutan itu, katanya, beberapa penekanan juga dibuat dengan memperkasakan Jawatankuasa Permuafakatan Daerah yang dipengerusikan pelbagai agensi termasuk PDRM. - BNBCC

    Subjects:

  • No Comment to " Peningkatan Kes Salah Laku Pelajar Perlu Ditangani Bersama "