• Peniaga asing 'ghaib' ketika diserbu

    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kejap ada, kejap tiada! Itu yang berlaku apabila kumpulan warga asing yang didapati berniaga secara haram di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini, ‘ghaib’ sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    Kegiatan mereka yang acap kali diambil tindakan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menyebabkan mereka lebih peka dan berwaspada.

    Ini terbukti apabila peniaga warga Bangladesh dan Myanmar ini sempat melarikan diri ketika serbuan dilakukan pihak KPDNKK, tengah hari semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur, Wan Mhd Yusof W Taib berkata, 13 pegawai penguat kuasa KPDNKK Kuala Lumpur menyerbu kawasan berkenaan menerusi Op Barang Tiruan yang dijalankan bersama wakil cap dagang sah di negara ini.

    Katanya, menerusi operasi itu, tujuh premis diperiksa dan pihaknya merampas 555 barang tiruan terdiri 41 jam tangan, cincin (6), gelang tangan (8), minyak wangi (11), dompet (18), beg (21), topi (52), tali pinggang (17), beg tangan (116), baju (52), seluar (26) serta selipar (187).

    “Semua barangan tiruan berkenaan menggunakan jenama terkenal seperti Puma, Nike, Chanel, Louis Vuitton, Gucci, Yves Saint Laurent, Prada dan Levis.

    “Ciri dan pengesahan produk tiruan itu dilakukan wakil cap dagang yang ikut serta dalam operasi berkenaan.

    “Semua barangan itu dirampas mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 dengan nilai keseluruhan rampasan RM10,865,” katanya.

    Wan Mhd Yusof berkata, siasatan pihaknya mendapati ada antara premis menjual barangan tiruan itu beberapa kali diserbu namun masih meneruskan operasi.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Peniaga asing 'ghaib' ketika diserbu "