• Penggunaan Antibiotik Perlu Dikawal

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA - Penggunaan antibiotik yang betul penting dalam memastikan kesihatan manusia dan haiwan terjamin.

    Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata hal ini bagi menangani kerintangan antibiotik daripada berterusan berlaku.

    Menurutnya, sehubungan itu, satu program telah dilancarkan iaitu Pelan Tindakan Kebangsaan Menangani Kerintangan Antibiotik, 2017-2021.

    “Pelan ini bagi menggariskan strategi dan aktiviti yang sedang dan akan diambil oleh semua agensi yang terlibat dalam menangani peningkatan kejadian kerintangan antibiotik.

    “Implementasi pelan ini menggunakan pendekatan secara bersepadu memandangkan isu ini merangkumi pelbagai komponen iaitu kesihatan manusia, kesihatan haiwan, rantaian makanan dan alam sekitar,” katanya ketika merasmikan pelancaran pelan tindakan tersebut bersama-sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, semalam.

    Katanya, kerintangan antibiotik ialah satu keadaan di mana antibiotik yang digunakan untuk merawat manusia atau haiwan mengalami kerintangan sehingga menyebabkan ia tidak boleh digunakan lagi untuk rawatan penyakit berjangkit.

    “Keadaan ini boleh terjadi melalui penggunaan antibiotik secara berlebihan terhadap kesihatan manusia, haiwan ternakan, akuakultur, pengawalan infeksi, kebersihan dan sanitasi yang kurang memuaskan serta penggunaan antibiotik yang tidak mengikut arahan.

    “Peningkatan kerintangan antibiotik akan menyebabkan kurang keberkesanannya untuk mengubati penyakit atau jangkitan,” kata Subramaniam.

    Tambahnya, penggunaan antibiotik adalah tertakluk dibawah Akta Makanan 2009 dan peraturan-peraturan berkaitan telah digariskan oleh pihak berkompeten.

    “Hanya ubatan tertentu sahaja yang ditetapkan dibenarkan penggunaannya. Penggunaan antibiotik terlarang adalah tidak dibenarkan sama sekali sebagai campuran makanan haiwan. Jika terdapat penternak menggunakan antibiotik terlarang maka tindakan undang-undang boleh dikenakan,” katanya.

    Sementara itu, dalam industri akuakultur, Jabatan Perikanan Malaysia turut memantau penggunaan dan residu antibiotik dalam akuakultur dan juga kilang pengeluaran makanan ikan.

    “Sekiranya terdapat pelanggaran, tindakan akan dikenakan kepada pihak terbabit bagi memastikan pembetulan dan penambaikkan atau sekatan dibuat.

    “Tindakan ini bagi memastikan produk akuakultur negara menepati kualiti keselamatan makanan selain menekankan Amalan Akuakultur Baik (AAB) melalui program Malaysian Good Agriculture Practice (myGAP),” katanya.

    Beliau berharap golongan profesional kesihatan memastikan antibiotik digunakan secara bertanggungjawab dan masyarakat awam serta golongan penternak turut memainkan peranan dalam isu ini demi kesihatan bersama. - SinarHarian

    Subjects:

  • No Comment to " Penggunaan Antibiotik Perlu Dikawal "