• Penderaan Rohingya cetus konflik serantau: UNHCR

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+
    JAKARTA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran, aksi 'genosid dan pembersihan etnik' ke atas minoriti Islam Rohingya Myanmar mungkin menyemarakkan lagi konflik berasaskan agama melangkaui sempadan.

    Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (UNHCR), Zeid Ra'ad Al Hussein dalam satu ucapan di sini berkata, Myanmar berdepan krisis amat serius yang berpotensi memberi kesan buruk ke atas keselamatan di rantau ini.

    Kenyataannya diikuti penerbitan satu laporan minggu lalu mengenai kubur besar Rohingya di negeri dilanda krisis Rakhine, di mana tentera kerajaan dituduh melancarkan kempen pembersihan etnik ke atas minoriti terbabit.

    Hampir 700,000 Rohingya lari ke Bangladesh sejak Ogos lalu. Myanmar menafikan laporan kubur besar itu dan dakwaan meluas pelanggaran hak asasi, mendakwa ia melancarkan satu tindakan keras wajar ke atas pemberontak Rohingya.

    Namun kerajaan negara itu menyekat media dan penyiasat PBB daripada mengakses secara bebas zon konflik serta menyiasat dakwaan pelarian berhubung tindakan genosid.

    Zeid berkata, Myanmar menikmati pertumbuhan kukuh termasuk menumpukan pembangunan sosio ekonomi di rantau Rakhine, namun ini tidak dapat menutup 'diskriminasi terancang' ke atas minoriti berkenaan.

    Beliau dijangka bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo serta pegawai atasan kerajaan dan kumpulan hak asasi ketika lawatan tiga hari.

    Antara isu yang dibincangkan adalah tindakan keras ke atas golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di negara majoriti Islam itu.

    Parlimen dijangka meluluskan satu rang undang-undang yang mengisytiharkan hubungan seks di luar perkahwinan tidak sah. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Penderaan Rohingya cetus konflik serantau: UNHCR "