• Pencuri Kabel Azab Dibelasah Penduduk Rumah Panjang

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+
    BINTULU: Dua pencuri kabel terpaksa menempuh azab selepas dibelasah sekumpulan penduduk rumah panjang di Sungai Setulai, di sini, petang semalam, sebelum diserahkan kepada polis.

    Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, kedua-dua suspek berkenaan yang berusia lingkungan 20-an ditangkap ketika leka memotong kabel elektrik berhampiran Rumah Panjang Timban, di sini.

    Sejurus ditangkap, penduduk setempat yang berang dengan perbuatan mereka kerana menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan terbabit, bertindak membelasah kedua-dua pemuda itu sebelum diserahkan kepada polis.

    Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitendan Zulkipli Suhaili, berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai kes berkenaan.

    "Sejurus tiba di lokasi, kita mendapati kedua-dua suspek sudah ditahan oleh penduduk rumah panjang itu dan diletakkan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan dikawal rapi bagi mengelak mereka melarikan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Difahamkan, kedua-dua suspek turut terbabit dalam kegiatan mencuri haiwan ternakan penduduk rumah panjang sekitar kawasan itu sebelum ini.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi dan direman pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya. - BHOnline
  • No Comment to " Pencuri Kabel Azab Dibelasah Penduduk Rumah Panjang "