• Pencuri Ibu Jari Patung Tentera Bernilai AS$5,000 Terracotta Ditangkap

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+


    PHILADELPHIA: Pencuri ibu jari patung purba tentera terracotta China, yang dipamerkan di Institut Franklin di sini, akhirnya dikenal pasti dan telah ditangkap pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

    Dalam kejadian pada Disember, Michael Rohana masuk ke bilik pameran 'Terracotta Warriors of the First Emperor' (Pahlawan Terracotta Maharaja Pertama) ketika di luar waktu lawatan, dan bertindak mencuri ibu jari salah satu patung berkenaan.

    Siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati, Rohana menggunakan lampu dari telefonnya untuk mengambil swafoto dengan patung purba berkenaan sebelum mencurinya.

    Muzium berkenaan menyedari akan kehilangan ibu jari itu 18 hari kemudian.

    Menurut FBI, patung tentera yang menjadi sasaran Rohana itu bernilai AS$4.5 juta. Sementara ibu jari yang dicuri itu, nilainya AS$5,000.

    Rohana telah ditangkap dan dibenarkan ikat jamin sebanyak AS$15,000. Pasportnya juga ditahan sehingga perbicaraan bermula.

    Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

    Lelaki berusia 24 tahun dari Delaware itu juga tidak dibenarkan keluar dari AS sehingga perbicaraan bermula.

    Pihak berkuasa memutuskan untuk mendakwa Rohana di bawah kesalahan mencuri dan menyimpan khazanah seni yang dilindungi.

    10 patung pejuang terracotta China dipinjamkan untuk pameran di institut itu yang berlangsung mulai 30 September, 2017 hingga 4 Mac, 2018.

    Pegawai sejarah wilayah barat laut China Shaanxi akan menghantar dua pakar untuk memperbaiki patung pahlawan berkenaan. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Pencuri Ibu Jari Patung Tentera Bernilai AS$5,000 Terracotta Ditangkap "